Padah anjur parti liar, sembilan lelaki dikompaun dan seorang bakal ke tali gantung

PADAWAN: Sembilan lelaki tempatan ditahan dan dikompaun kerana menganjurkan parti liar di sebuah pusat karaoke di Batu Kawa, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata kesemuanya yang berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan kira-kira jam 5 petang kelmarin.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan turut mendapati empat daripada mereka positif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong menambah kesemua mereka turut dikompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul dan berhibur.

“Nilai kompaun terkumpul yang dikeluarkan adalah sebanyak RM36,000,” katanya.

Pada masa sama, Jaw Shyong berkata pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki warganegara India berusia 23 tahun, yang merupakan pekerja pusat karaoke berkenaan kerana memiliki dadah.

Katanya sebanyak 766.68 gram serbuk jus disyaki ekstasi dan 53 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM13,554 telah dirampas daripada suspek.

Jaw Shyong berkata suspek kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati (tali gantung) atau penjara seumur hidup serta hukuman sebatan 15 kali.

Suara Sarawak