Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Padah cederakan bapa, penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan bapanya menggunakan sebilah pisau daging hingga menyebabkan luka di bahagian kaki kanan pada 3 Oktober lepas.

Tertuduh Muhammad Shafiq Norisam, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mahkamah juga memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Bandar Baru Samariang sekitar jam 9.30 malam pada 3 Oktober lalu.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku di ruang tamu rumah pengadu Norisam Talip yang merupakan bapa tertuduh dan isterinya telah menasihati serta menegur anak sulung mereka agar mencari pekerjaan.

Tertuduh yang marah dengan teguran itu hingga menimbulkan pertengkaran lalu pergi ke dapur dan kembali semula ke ruang tamu dengan membawa sebilah pisau pemotong daging sambil menggugut hendak menetak pengadu.

Pergelutan berlaku antara tertuduh, pengadu dan isterinya. Semasa pergelutan, pisau yang dipegang tertuduh terlepas lalu terkena kaki kanan pengadu hingga menyebabkan luka.

Pada hari yang sama, sekitar jam 9.40 malam tertuduh ditangkap di rumah mereka oleh anggota dari Unit Kereta Peronda IPD Kuching dan pisau pemotong daging yang digunakan tertuduh turut dirampas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News