KUCHING: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman denda RM600 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan huru-hara di tempat awam hingga mendatangkan suasana tidak aman, dua tahun lalu.
Lee Boo Hiong @ Lee Bu Hiong, 65, merupakan tertuduh kedua mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi rakan bernama Chang Foot Kong, 52, (tertuduh pertama) didakwa melakukan huru-hara di hadapan sebuah kedai di Taman Duranda, di sini, kira-kira jam 2.30 petang, 19 Julai 2021.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pengadu merupakan kaunselor sebuah majlis perbandaran membuat laporan polis mengenai satu video tular di media sosial mengandungi isu-isu dan berita palsu berkaitan seorang datuk yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Tertuduh pertama(Foot Kong) yang telah menularkan video berkenaan didatangi tertuduh kedua, Boo Hiong yang tidak berpuas hati dengan Foot Kong lalu meminta penjelasan mengenai video terbabit.
Berlaku provokasi antara mereka semasa bersemuka hingga menyebabkan berlakunya pergelutan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi tertuduh pertama yang tidak hadir ke mahkamah hari ini dan diwakili seorang peguam pada 4 Oktober depan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.