KUCHING: Seorang lelaki tempatan diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney Puncak Borneo oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mencuri seutas rantai emas, dua utas gelang tangan emas dan sepasang subang emas milik ibunya pada Januari lepas.
Tertuduh yang berusia 20 tahun mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Zaiton Anuar.
Mahkamah memutuskan tertuduh yang berasal dari Kampung Stampin menjalani hukuman sehingga berusia 21 tahun.
Mengikut pertuduhan, dia memiliki barang kemas milik ibunya di sebuah rumah di Kampung Stampin, di sini, sekitar jam 9.40 pagi, pada 26 Januari lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit bersalah.
Menurut fakta kes, pada 25 Januari lepas, ibu tertuduh mendapati pintu biliknya di tingkat atas terbuka.
Dia kemudian memeriksa biliknya dan mendapati laci meja solek terbuka dan barang-barang kemasnya hilang.
Ibu tertuduh kemudian membuat laporan polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Pada 1 Februari lepas, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching menahan anak lelakinya yang dipercayai suspek yang dicari bagi kes tersebut sedang tidur di rumah mereka di Kampung Stampin.
Hasil siasatan, tertuduh mengaku mengambil barang kemas terbabit.
Tertuduh juga didapati menggunakan rantai emas tersebut namun telah diambil oleh bapanya sendiri.
Selain itu, bapanya juga menjumpai dua utas gelang emas dan sepasang subang dalam bilik tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.