Padah jual daging hidupan liar

KUCHING: Empat individu ditahan ketika cuba membawa keluar daging haiwan liar dari Kapit untuk dijual di luar.

Mereka ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut SFC, dua individu dari Julau dan Sibu Jaya ditahan kerana memiliki daging rusa seberat 31 kilogram (kg), organ dalaman rusa seberat 6.9 kg, daging dan bahagian lain seberat 4.4 kg dan daging Binturong seberat 5.5 kilogram.

Manakala seorang individu ditahan kerana memiliki daging landak seberat 7 kg serta seorang lagi lelaki dari Kapit ditangkap kerana memiliki daging babi hutan seberat 37 kg.

“Mereka disyaki membawa keluar daging hidupan liar ini dengan niat untuk menjual di luar Kapit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa penjualan daging hidupan liar termasuk spesis yang tidak dilindungi adalah tidak dibenarkan sama sekali, tertakluk di bawah Ordinan Hidupan Liar, 1998.

Bagaimanapun, ia menyatakan bagi masyarakat di luar bandar, mereka dibenarkan untuk memburu haiwan liar untuk kegunaan sendiri tetapi tidak dibenarkan menjual daging tersebut.