Padah jual judi online

SAMARAHAN: Lima buah rumah di beberapa perkampungan di sini dipotong bekalan elektrik hari ini kerana didapati menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata kesemua premis berkenaan terletak di Kampung Sungai Buluh di Sadong Jaya, Kampung Iboi Tengah, Kampung Semera dan Pasar Semera di Asajaya serta di Kampung Moyan Laut.
“Pemotongan bekalan elektrik dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah Kota Samarahan bersama Sesco kerana premis-premis terbabit menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Tindakan ini dibuat mengikut Seksyen 21(A)1 Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menegaskan BSJ IPD Kota Samarahan akan terus bertindak secara agresif dan berterusan dalam usaha memerangi dan memastikan bahagian ini bebas daripada aktiviti perjudian haram.
“Masyarakat juga dinasihati untuk tidak terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian ini,” katanya.
Beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan secara terus kepada BSJ IPD Kota Samarahan atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun melalui App store.
Menurut Sudirman, setakat Januari ini, BSJ IPD Kota Samarahan telah menjalankan 37 serbuan dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian.
Daripada jumlah tersebut, 12 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 / Sek 4(1)(c) ARJT 1953.
Katanya 15 individu telah ditangkap melibatkan 12 lelaki dan 3 wanita.
 

Pasukan BSJ IPD Kota Samarahan bersama kakitangan Sesco melakukan pemotongan elektrik ke atas salah sebuah rumah yang didapati menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Suara Sarawak