Padah langgar syarat lesen

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melakukan aktiviti perikanan pada jarak 5 batu nautika di utara Kuala Baram, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Md. Fauzi Othman berkata bot tersebut cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dan ditahan oleh aset Maritim yang sedang melakukan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri pada lebih kurang jam 7.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tidak menjumpai sebarang peralatan menangkap ikan seperti pukat atau tali tunda. “Anggota penguat kuasa mengesyaki kru bot telah bertindak melepaskan tali pukat bagi mengelak ditahan, sebaik menyedari kehadiran aset Maritim.

“Bot tersebut kemudian diarahkan berpatah semula ke posisi di mana penguat kuasa menjumpai sebahagian pukat terapung yang dipercayai milik mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Md. Fauzi menambah pemeriksaan lanjut mendapati bot disyaki melakukan aktiviti perikanan kurang daripada 7 batu nautika yang mana telah menyalahi syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki.

“Bot nelayan tempatan itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia bersama empat kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 27 hingga 65 tahun.

Suara Sarawak