KUCHING: Dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,200 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki dadah, Oktober tahun lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Faidzal Katoni, 39, dan Richard Chung Kaw Sheng, 22, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan mereka.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Faidzal berasal dari Belawai didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.08 gram.
Dia didapati memiliki bahan terlarang tersebut di sebuah bilik sewa atas kedai di Moyan, Batu Kawa, sekitar jam 11.30 pagi, 15 Oktober lepas.
Manakala, Richard Chung berasal dari Krokop Miri, didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine dan Ketamine seberat 0.30 gram di sebuah rumah yang beralamatkan Seksyen 50, Jalan Nipah, sekitar jam 10.30 pagi, 7 Oktober lepas.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 12 (3) Seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.