
KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau 10 bulan penjara ke atas seorang Ketua Kampung kerana menyalahgunakan dana kampung untuk kegunaan sendiri.
Hakim Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Alex Libau, 59, mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan Ketua Kampung Ensebang Kuari Baru telah menerima cek bernilai RM50,000 daripada wakil rakyat di kawasannya, atas nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ensebang Kuari Baru.
Dia menerima cek itu yang diserahkan sendiri oleh Adun Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan di sebuah kedai kopi di Tabuan Jaya pada 8 September 2018.
Wang itu adalah untuk membaik pulih jalan di Kampung Ensebang Kuari.
Namun pada 23 Oktober 2018, tertuduh didapati telah mengeluarkan sebanyak RM35,000 dari akaun JKKK Kampung Ensebang Kuari Baru.
Hasil siasatan mendapati dia mengeluarkan wang berkenaan untuk membeli sebuah lori bagi mengangkut buah kelapa sawit.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh diwakili diwakili peguam George Lo, Jonathan Tay, Ralph Lee dan Francis Wee.