Padang MPG dipilih jadi lokasi Piala Dun Balingian 2019

MUKAH: Padang bola sepak Mukah Power Generator (MPG) telah dipilih sebagai lokasi utama untuk Perlawanan Bola Sepak 9 Sebelah MuFA Piala Dun Balingian 2019 bagi mengantikan padang Sekolah Kebangsaan Parish Balingian dan Stadium Balingian yang telah dirancang sebelum ini.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFa), Azhar Bakar, sebelum ini padang Sekolah Kebangsaan Parish Balingian dan Stadium Balingian telah dipilih menjadi lokasi perlawanan, namun kedua-dua lokasi ini tidak dapat digunakan walaupun setelah dibaik pulih oleh pihak Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS)

“Padang SK Parish dan Stadium Mini Balingian tidak dapat digunakan buat masa ini disebabkan permukaan padang yang tidak sesuai walaupun proses baik pulih telah dilakukan, ia memerlukan tempoh yang panjang untuk proses pemulihan.

“Manakala pihak MPG telah bersetuju dengan kita untuk menggunakan padang mereka sebagai lokasi utama perlawanan dan kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sudi membenarkan padang mereka digunakan untuk perlawanan selama dua hari ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tambahnya Adun Baligian Abdul Yakub Arbi sendiri berjanji untuk membaikpulih padang tersebut untuk tahun hadapan, dan perkara ini sekaligus katanya memudahkan penganjuran piala yang sama untuk tahun hadapan di lokasi tersebut.

“Penduduk sekitar Mukah dan Balingian turut dijemput untuk bersama-sama menyaksikan perlawanan yang julung kali ini yang akan berlangsung pada 14 hingga 15 September minggu depan di Padang MPG ini.

“Datanglah untuk memberi sokongan kepada 15 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan mereka pada kali pertama ini yang merupakan anjuran MuFA dengan kerjasama Press Metal Sarawak dan Belia Balingian,” ujarnya

Beberapa hari lalu Azhar Bakar bersama exco MuFa telah bertemu dengan wakil pengurusan MPG yang diketuai oleh Abbas Salimi yang juga selaku Pengurus Penyelengaraan dan Pengerusi Sukan MPG bagi membincangkan pemilihan Padang MPG sebagai lokasi utama untuk kejohanan tersebut dan perkara tersebut telah dipersetujui oleh semua pihak.

Presiden MuFA Azhar Bakar bersama beberapa exco MuFA mengadakan pertemuan dengan wakil pengurus MPG yang diketuai oleh Abbas Salimi yang juga Pengurus Penyelengaraan dan Pengerusi Sukan MPG.