BINTULU: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke Hospital Bintulu bagi membantu mengeluarkan besi serampang yang tertusuk pada paha kanan seorang gadis, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan dari pihak hospital bagi memohon bantuan khidmat khas pada jam 1.37 pagi.

Menurutnya, sepuluh anggota dari BBP Bintulu digerakkan ke hospital sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di Hospital Bintulu, didapati seorang gadis tertusuk besi serampang di paha kanannya.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas bagi memotong besi tersebut,” katanya hari ini.
Menurut Wan Kamarudin lagi, selepas berjaya dikeluarkan mangsa diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut.
