KUCHING: TVS, stesen TV berpangkalan di sini akan menampilkan pakar ekonomi Datuk Profesor Dr Madeline Berma malam ini.
Felo Akademi Sains Malaysia itu ialah tamu program bicarawara Twenty30 yang akan disiarkan pada pukul 9 malam melalui saluran 122 Astro dan MYTV.
Rancangan yang mengupas isu semasa itu dikendalikan Felo Kanan Majlis Profesor Negara dan penganalisis politik terkemuka, Dr Jeniri Amir.
Tajuk bicarawara ialah ‘Nasib M40: Cabaran dan Strategi’ yang mengupas kesan Covid-19 dan PKP terhadap golongan M40.
Dr Madeline , sarjana Iban dari Banting Lingga, Sarawak ini menamatkan pengajian doktor falsafah di University of Hull, England.
Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari UKM seterusnya memperoleh Ijazah Dasar Awam dan Pentadbiran dari University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat.
Bidang penyelidikan beliau merangkumi kajian pembangunan dengan kerja penyelidikannya memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, pembangunan ekonomi pribumi dan pembangunan wanita.
Selain golongan B40, golongan M40 turut tidak terlepas daripada terkena dampak atau tempias PKP dan Covid-19 dari segi ekonomi dan pendapatan.
Untuk rekod, golongan M40 ialah golongan pertengahan yang menikmati gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan untuk tahun 2021.
Jikalau kategori tangga gaji dan pendapatan isi rumah keluarga anda RM4,850 sebulan dan ke bawah, anda tersenarai dalam kumpulan B40
Golongan teratas T20 ialah golongan kaya dengan gaji dan pendapatan isi rumah di Malaysia setiap bulan melebihi RM10,971 untuk tahun 2021.