Pakar Orang Utan maut dilanggar motosikal

KUCHING: Seorang Pakar Taksonomi di Jabatan Hutan Sarawak maut dilanggar motosikal ketika sedang melintas jalan di Jalan Kulas, di sini semalam.

Mangsa, Dr Mohammad Hatta Mohamad Ramlee,47, yang merupakan pakar Orang Utan disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 8.11 malam kerana kecederaan di kepala.

Manakala penunggang motosikal, 22, dari Kampung Haji Baki yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel terkemuka di sini cedera, di mana masih menerima rawatan di Zon Kuning HUS dan tidak sedarkan diri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berlaku jam 1.20 petang berhampiran bank RHB Satok, apabila penunggang motosikal yang bergerak lurus dari arah Jambatan Satok menuju ke arah Jalan P.Ramlee melanggar mangsa yang sedang melintas jalan di lintasan pejalan kaki (Zebra crossing).

“Akibat kemalangan, si pejalan kaki terlambung ke hadapan manakala penunggang motosikal terjatuh dan tertiarap di jalan sebelum kedua-dua mereka dialihkan oleh orang awam ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.