PENGUMUMAN pakej kelima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) umpama hadiah untuk rakyat Sarawak.
Malah peruntukan berjumlah RM405 juta memberi suntikan nafas baharu untuk rakyat.
Hakikat, pakej kali ini sebagai suntikan supaya ekonomi di dalam negeri tidak malar dan terus hidup.
Malah, ada yang berpendapat inisiatif ini membantu golongan peniaga untuk terus berniaga dan masyarakat terus membeli.
Jelas sekali, sesebuah negara mahu memastikan aliran tunai di dalam negeri terus berlaku.
Bantuan kali ini menyasarkan kepada peningkatan pendapatan digunakan oleh rakyat melalui pengurangan beban hutang dan pengurangan perbelanjaan asas seperti bil elektrik dan bil air.
Bantuan khas diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi 11 langkah yang melibatkan pemberian diskaun, pengecualian dan penangguhan pembayaran lesen, premium tanah dan pinjaman industri kecil dan sederhana.
Pengumuman pakej dalam inisiatif terbaharu tersebut dilihat mampu meringankan beban rakyat negeri itu dalam menghadapi penularan Covid-19 dan banjir yang melanda Sarawak.
Seperti sebelum ini, beberapa bantuan dipanjangkan lagi bagi tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun 2021.
BKSS 5.0 ini melibatkan pemberian diskaun bil elektrik bulanan di antara 5 peratus hingga 25 peratus yang memanfaatkan kira-kira 642,000 isi rumah.
Selain itu, diskaun bil air bulanan antara 10 peratus hingga 25 peratus untuk lebih 568,000 isi rumah.
Langkah ketiga ialah (pemberian) diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan turut diberikan kepada peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT di samping meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat milik kerajaan negeri.
Diskaun 25 peratus turut diberikan ke atas taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 yang disasarkan akan dapat dinikmati kira-kira 185,000 pemilik premis kediaman, komersial, industri dan pegangan khas serta diskaun 50 peratus ke atas sewa kediaman di bawah Skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) untuk manfaat 3,200 penyewa.
Pengumuman diskaun 30 peratus untuk pembayaran cukai tanah, pengecualian pembayaran lesen hotel dan rumah tumpangan selain penangguhan pembayaran premium tanah pada tahun ini di samping penangguhan pembayaran balik Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
Ringankan Beban
Abang Johari berharap, Pakej Bantuan Sarawakku Sayang 5.0 berjumlah RM405 juta ini membantu meringankan beban seluruh rakyat Sarawak hingga ke Jun.
Kita harus mendoakan agar dengan adanya vaksin, penularan Covid-19 dapat diatasi selepas Jun 2021.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Dayang Affizzah Awang Marikan menyifatkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 merupakan tindakan berani tetapi wajar oleh Kerajaan Sarawak.
Beliau yang juga merangkap Timbalan Dekan Penyelidikan dan Penkomersilan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas berkata, walaupun hutang negara semakin meningkat namun tindakan ini perlu untuk suntikan kegiatan ekonomi.
“Perlunya suntikan ekonomi ini kerana kalau tidak ada bantuan sebegini, rakyat tidak berbelanja.
“Dengan tidak ada perbelanjaan dalam sesuatu ekonomi maka tiadanya perniagaan.
“Tiada perniagaan maka akan memberi impak terhadap keseluruhan ekonomi” jelasnya.
Inisiatif dan bantuan yang diberikan kerajaan harus diteruskan tetapi bentuk dan inisiatif ini harus diperhalusi dari semasa ke semasa mengikut keadaan diperlukan.
Selain itu, kerajaan harus memastikan perancangan yang lebih teliti dilakukan berlanjutan dengan bantuan supaya seimbang untuk kemajuan negeri.
Untuk rekod kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3.06 bilion untuk BKSS sejak pelaksanaan pakej pertamanya pada Mac tahun lalu.
Sesungguhnya pakej bantuan yang disediakan membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup sekali gus memastikan ekonomi negeri terus mencatatkan pertumbuhan ketika dunia diancam Covid-19.

Kuih-muih, juadah RM1 licin dijual
LEBIH 3,000 paket kuih-muih dan pelbagai juadah yang dijual pada