Pakej BKSS guna dana kecemasan bantuan khas

KUCHING: Kesemua pakej stimulus dan sokongan yang diumum Kerajaan Sarawak memberikan gambaran Kerajaan Negeri prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Ketua Menteri menyedari kesusahan yang dihadapi oleh semua rakyat Sarawak, komuniti perniagaan, bekerja sendiri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), petani, nelayan yang tidak bekerja dan kumpulan B40 ekoran kesan pelaksanaan PKP.

Kata Uggah, Ketua Menteri telah mengumumkan tiga pakej stimulus iaitu Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dengan sejumlah RM2.55 bilion untuk BKSS 1 (RM1.15 bilion), BKSS 2 (RM1.11 bilion) dan BKSS 3 (RM0.29 juta) untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap rakyat Sarawak dan perniagaan.

Beliau menambah, RM16.4 juta telah diperuntukkan di bawah program Bantuan Makanan Sarawakku Sayang, RM10 juta untuk pembelian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan dana tambahan untuk pengurusan pusat kuarantin serta menyediakan tempat tinggal untuk kakitangan kesihatan (doktor dan jururawat).

Jelasnya, Kerajaan Sarawak mempunyai sumber dan kekuatan kewangan untuk melaksanakan kesemua projek yang dilaksanakan termasuk BKSS yang bertujuan untuk menangani kesan wabak Covid-19.

“Sumber dana tersebut datang daripada dana kecemasan, bajet pembangunan 2020 (Skim Mikrokredit), simpanan daripada projek yang tidak dilaksana dan simpanan daripada dana pembangunan selain RM1 bilion menggunakan dana daripada Bank Negara (Dana Bantuan Khas) negeri yang hanya menyerap subsidi faedah.

“Rakyat Sarawak jangan risau… Kerajaan Sarawak mempunyai sumber kewangan untuk membantu program BKSS. Ia telah diagihkan sejak April,’’ katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dun Sarawak ke-18, kelmarin.