Pakej khas Internet untuk sekolah

KUCHING: Syarikat telekomunikasi diharap menawarkan pakej Internet berkelajuan tinggi tanpa had untuk warga sekolah, bagi melengkapi subsidi pembelian telefon pintar kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi setiap isi rumah yang mempunyai anak bersekolah.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata, tanpa sokongan syarikat telekomunikasi, inisiatif kerajaan kurang impak kerana murid dan guru yang memerlukan data Internet untuk proses pembelajaran khususnya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Subsidi pembelian telefon pintar merupakan peluang yang baik bagi anak bersekolah untuk mendapatkan akses kepada bahan pendidikan melalui Internet.

“Bagaimanapun STU berharap syarikat telekomunikasi dapat melaksanakan khidmat masyarakat sekolah dengan menyediakan pakej khas Internet berkelajuan tinggi tanpa had untuk warga sekolah kerana memerlukan data yang banyak dalam proses PdPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi baru-baru ini, bagi mengulas mengenai pemberian subsidi pembelian telefon pintar atau peranti baharu sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi setiap isi rumah yang mempunyai anak bersekolah.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif itu bagi penambahbaikan subsidi pembelian telefon sebanyak RM180 yang dilaksanakan kerajaan, bagi penerima BPR seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021.

Adam berkata, STU juga menggesa warga guru agar terus mengamalkan sistem pembelajaran abad ke-21 dengan mendidik pelajar mencari maklumat tambahan bagi pembelajaran mereka melalui carian Internet.

“Kita perlu mengubah sikap lama yang dulu telefon diharamkan di sekolah kerana pengalaman semasa pandemik Covid-19 ini banyak mendidik untuk menggunakan Internet melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.

“Semua warga sekolah dan ibu bapa mengamalkan anjakan paradigma dunia pendidikan, didiklah anak agar menggunakan telefon pintar secara pintar juga,” katanya.

Suara Sarawak