ARTIKEL

PAKEM Aidiladha pelajar Sarawak di Mesir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERAYAAN Aidiladha sinonim mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail yang menurut perintah Allah, lalu ketaatan itu digantikan dengan haiwan sebagai korban.

Umat Islam menyembelih haiwan korban seperti lembu, kambing dan seumpamanya serta meraikan Aidiladha.

Ketika ini jemaah haji berada di Makkah menunaikan Rukun Islam kelima.

Menunaikan korban dilakukan selepas solat Aidiladha yang jatuh pada hari ini di Malaysia dan ibadah ini berlangsung tiga hari.

Muhamad Nur Irfan Zaidi, 21, pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 melanjutkan pelajarannya di Universiti al-Azhar Mesir dengan mengambil jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Menurutnya, tahun ini merupakan pengalaman pertama dia meraikan Aidiladha bersama-sama rakannya di Mesir.

Irfan meluahkan perasaan keterujaan tidak terungkap kerana dapat merasakan suasana dan budaya meraikan Aidiladha di negara orang.

Namun, terdetik kesedihan di hati Irfan kerana tidak dapat meraikan perayaan itu bersama-sama keluarganya pada tahun ini.

Selain itu, setiap negara mempunyai cara persiapan tersendiri untuk setiap perayaan dan semestinya berbeza berbanding negara sendiri.

Ujar Irfan, persiapan Hari Raya Aidiladha lebih kurang sama seperti persiapan Raya Adilfi tri.

BERKUMPUL ANAK SARAWAK DI MESIR

Bagi persiapan Aidiladha tahun ini, Irfan melakukan persiapan perayaan itu bersama-sama Persatuan Anak Kenyalang Mesir (Pakem) seperti mengadakan program sambutan Aidiladha dengan pelajar Sarawak di Mesir.

Antara persiapan yang dibuat oleh Pakem ialah susun atur program, mengumpul dana dan sumbangan untuk penyembelihan korban pada Hari Raya Korban yang jatuh pada Rabu (semalam).

Di samping itu, tazkirah dan ceramah juga diadakan pada Majlis Sambutan Aidiladha Pakem berkaitan Aidiladha, ibadah korban dan sebagainya.

Tambahnya, Pakem merupakan persatuan yang menjaga kebajikan dan mengadakan banyak program untuk pelajar Sarawak di Mesir.

Perbezaan Hari Raya Aidiladha di Malaysia dan Mesir yang paling ketara ialah haiwan korban.

“Biasanya haiwan yang disembelih di Malaysia ialah lembu, berbanding di Mesir, haiwan yang banyak disembelih ialah kambing, biri-biri, lembu dan unta.

“Masyarakat Arab di Mesir memakai jubah semasa perayaan berbanding orang Malaysia memakai baju Melayu.

“Suasana di Mesir amat meriah, dapat dilihat apabila masjid sentiasa penuh hingga melimpah ke kawasan luar sampai ke jalan raya ketika mengerjakan solat Aidiladha berjemaah,” katanya kepada Suara Sarawak.

MENGEJAR IBADAH

Persamaan yang dapat dilihat di Malaysia dan Mesir ialah solat raya berjemaah dan takbir raya semasa perayaan Aidiladha.

Pada masa yang sama, perkara yang amat dinantikan oleh Irfan ialah proses penyembelihan unta.

Katanya, proses penyembelihan unta jarang dilihat di Malaysia dan di Mesir mempunyai tempat tertentu apabila melibatkan penyembelihan unta.

Sementara itu, 10 hari pertama Zulhijah merupakan hari yang besar ganjarannya dengan melakukan banyak amalan dan ibadah.

Menurut Irfan, banyak kelas pengajian seperti ceramah, tazkirah berkaitan Zulhijah, Aidiladha, ibadah korban dan sebagainya diadakan di Mesir.

Masjid di Mesir sentiasa penuh dengan umat Islam yang berlumba-lumba mendapat ganjaran besar kerana Allah, tidak kira kanakkanak, dewasa mahupun tua.

Amalan lain yang dilakukan ialah berpuasa pada awal 10 Zulhijah, memperbanyak berzikir dan ibadah sunah seperti membaca al-Quran dan sebagainya.

Justeru, harapan Irfan yang pertama kali merasakan suasana perayaan Hari Raya Haji di Mesir supaya segala perancangan yang dibuat berjalan lancar.

Irfan juga berharap semoga semua umat Islam terus mengamalkan kebaikan dan ibadah selari dengan ajaran Islam sebenar.

BERITA LAIN

Cegah sebelum terlambat

VIRUS yang menyebabkan AIDS iaitu HIV telah lama wujud. Kes pertama HIV di Sarawak dilaporkan pada 1999. Sejak itu, wabak itu menjejaskan hampir 4,000 rakyat

Rumah kampung mini

PENGGUNA TikTok @nazrulfaiz88 tular dengan isi kandungan menghasilkan seni replika mini seperti kawasan perkampungan atau rumah lama. Hasil tangannya sangat kemas dan cantik, sekali pandang

Pasukan Malaysia pertama juarai MSC MLBB

SELANGOR Red Giants (SRG) menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-2 dalam kejohanan Mid

BERITA TERBARU