ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif mengalu-alukan langkah mengeluarkan nama negaranya daripada senarai Kesatuan Eropah (EU) bagi negara berisiko tinggi.
Beliau menyuarakan harapan bahawa perkembangan penting itu membawa manfaat kepada negara dan rakyatnya.
“Langkah mengeluarkan Pakistan daripada senarai terkini negara berisiko tinggi EU adalah perkembangan penting yang akan memudahkan perniagaan, individu dan entiti kami,” lapor Xinhua, memetik daripada media sosial perdana menteri itu.
Beliau turut berkata ia mencerminkan usaha pemerintah untuk memperkukuh rejim antipengubahan wang haram dan antipembiayaan keganasan.
Sebelum ini, EU mengeluarkan Pakistan daripada senarai negara yang dianggap oleh kesatuan itu sebagai mempunyai kekurangan strategik dalam rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan keganasan mereka. – Bernama