PAKK terap nilai murni, cungkil bakat kanak-kanak

BETONG: Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) menggalas tanggungjawab mencungkil bakat kanak-kanak selain menjadikan modal insan harapan negara itu mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik serta sentiasa berfikiran positif.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong Stefan Flora Franky memberitahu, walaupun program perlawanan persahabatan kali ini bersifat santai tetapi berjaya mencapai beberapa objektif yang digariskan.

“Program pada hari ini sememangnya relevan dilaksanakan bukan sahaja untuk menarik minat kanak-kanak supaya aktif dari segi fizikal, mental dan sentiasa berfikiran positif, namun melaluinya juga memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat masing-masing dalam setiap permainan yang disusun atur,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mewakili Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong Uwieng Gimos merasmikan Program Perlawanan Persahabatan (Badminton, Petanque dan Tarik Tali) Antara PAKK Paya Udak dengan PAKK Kampung Hilir Sri Aman dan Kafe @ Teen yang berlangsung di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, semalam.

Jelasnya, pihaknya melalui PAKK dalam pada itu mahu mengeratkan silaturrahim dan persahabatan antara kakitangan serta kanak-kanak yang terlibat.

Selain itu tambahnya, menerapkan nilai-nilai murni seperti bekerjasama, semangat berpasukan dan bertanggungjawab dalam diri setiap daripada mereka.

“Saya berharap program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang agar objektif-objektif tersebut terus dapat dicapai,” ujarnya.

Sementara itu Penyelia PAKK Paya Udak Nurmardiana Tia melahirkan rasa berpuas hati dengan kerjasama semua pihak yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan program tersebut.
“Penglibatan peserta juga memuaskan.

“Saya amat setuju sekiranya program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja memperkuat niat persahabatan tetapi sebagai pengisian masa lapang kanak-kanak yang bermanfaat,” jelasnya.

Program anjuran PAKK Paya Udak dan PKMB Betong dengan kerjasama PAKK Kampung Hilir Sri Aman dan Kafe @ Teen disertai 35 kanak-kanak.

Hadir sama Penyelia PAKK Kampung Hilir Sri Aman Rosnie Shabli dan Penyelia Kafe @ Teen Sri Aman Andresson Scmit.

Suara Sarawak