ARTIKEL

Palestin sudah buktikan layak sertai PBB

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu, dengan menyatakan bahawa negara tersebut sememangnya layak menerima status berkenaan.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada mesyuarat pleno ke-51, sesi khas kecemasan ke-10, Perhimpunan Agung PBB di New York pada Isnin.

Palestin secara konsisten telah menunjukkan komitmennya terhadap keamanan, walaupun Israel berterusan dengan pendudukannya yang kejam dan menindas, terus menghakis integriti wilayahnya dan percubaan untuk memusnahkan rakyat Palestin.

“Ia juga jelas bagi kita bahawa Palestin sangat menghargai peluang untuk mengambil bahagian dalam proses PBB dan mereka mampu serta bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab yang terkandung dalam Piagam PBB.

“Palestin telah membuktikan dirinya layak menjadi anggota pertubuhan ini. Sebaliknya, Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa, menentang resolusi PBB serta mencela dan memfitnah PBB serta pegawainya,” katanya. Ucapan beliau di PBB telah diedarkan kepada media di sini oleh Kementerian Luar (Wisma Putra).

“Palestin telah memenuhi empat kriteria kenegaraan yang dinyatakan dalam Konvensyen Montevideo 1933,” katanya sambil menambah Malaysia juga percaya Palestin memenuhi syarat keahlian dalam PBB seperti yang termaktub dalam Artikel empat Piagam PBB.
Malaysia juga menggalakkan negara-negara yang belum mengiktiraf Palestin secara rasmi untuk berbuat demikian tanpa berlengah lagi.

Setakat ini, katanya, 144 anggota PBB telah mengiktiraf Negara Palestin dan beberapa negara telah mengumumkan niat mereka untuk mengiktiraf Palestin dalam masa terdekat.

Beliau berkata Malaysia melihat keanggotaan penuh sebagai kritikal dalam menyumbang ke arah penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi isu Palestin.

Ahmad Faisal berkata Malaysia bersedia menjadi sebahagian daripada inisiatif sokongan yang bertujuan merealisasikan hak asasi rakyat Palestin untuk kebebasan dan penentuan nasib sendiri.

Beliau berkata tindakan Israel, dari hari ke hari, pasti menimbulkan keraguan sama ada ia benar-benar percaya kepada sistem PBB dan menghargai keanggotaannya dalam pertubuhan ini.
Beliau menyatakan gimik ofensif Israel yang mengoyakkan Piagam PBB yang disaksikan dalam Dewan pada Jumaat lalu hanyalah satu lagi contoh tindakan Israel yang tidak menghormati PBB.

Malaysia berpandangan bahawa kemasukan Negara Palestin sebagai anggota penuh sepatutnya berlaku apabila Resolusi Perhimpunan Agung 181(II) diterima pakai dan Israel diterima masuk 75 tahun yang lalu.

Sementara itu, Ahmad Faisal berkata isu Palestin kekal sebagai isu tertunggak dalam pertubuhan itu selama lebih tujuh dekad dan sudah tiba masanya PBB memenuhi tugas dan tanggungjawabnya untuk menghasilkan penyelesaian secara aman.

Ini harus bermula dengan pengiktirafan Negara Palestin, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan penyelesaian dua negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, katanya.
“Pendudukan Israel mesti berakhir. Keadilan mesti dipulihkan. Penentuan nasib sendiri rakyat Palestin mesti ditegakkan. Negara Palestin yang berdaulat sepenuhnya mesti diiktiraf.”

Ahmad Faisal berkata resolusi yang diterima pakai oleh Perhimpunan pada Jumaat lepas merupakan langkah penting ke hadapan kerana ia merupakan perkembangan positif yang amat diperlukan dalam menghadapi kemelut dan kelumpuhan berterusan Majlis Keselamatan.

Penerimaan teks itu oleh majoriti besar adalah bukti jelas bahawa sokongan besar terhadap kenegaraan Palestin dalam masyarakat antarabangsa, katanya.
Israel melancarkan serangan berterusan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh hampir 35,000 rakyat Palestin.

Tujuh bulan selepas perang Israel, menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah sekatan yang melumpuhkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala sebahagian besar infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari lalu mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah untuk memastikan bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.– BERNAMA

BERITA LAIN

Mokhber presiden sementara

TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengisytiharkan selama lima hari tempoh berkabung awam berikutan kematian Presiden Ebrahim Raisi dan rombongannya dalam

Periksa syarikat produk rempah tercemar

MUMBAI: Lembaga rempah kerajaan India telah melakukan pemeriksaan kilang ke atas dua syarikat pengeluar rempah terkemuka berikutan larangan asing susulan tuduhan beberapa produk telah dicemari

Sekolah di Pakistan ditutup 7 hari

ISLAMABAD: Berikutan peningkatan suhu dan gelombang haba di wilayah Punjab, timur Pakistan, semua sekolah awam dan swasta akan ditutup selama tujuh hari dari 25 hingga

BERITA TERBARU