Pamer tanda harga dengan jelas

BINTULU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bintulu menggesa peniaga mempamerkan tanda harga barangan terutamanya barangan kawalan dengan jelas bagi mengelak dikenakan kompaun atau tindakan lebih tegas.

Di samping itu, mereka juga diwajibkan menggunakan alat timbang dan sukatan yang telah ditentusahkan oleh inspektor timbang dan sukat kementerian berkenaan.

Ketua Cawangan KPDNHEP Bintulu, Salihin Din berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana- mana peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan, katanya, seorang individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali atau kompaun sehingga RM50,000.

Bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 manakala bagi kesalahan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan oleh inspektor timbang dan sukat, boleh dedenda oleh mahkamah sehingga RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Jika didapati, terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang- undang dan peraturan yang ditetapkan, pengguna, katanya, boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian menerusi Portal e-aduan kpdnhep(http://eaduan.kpdnhep.gov.my), Call Centre 1-800-886-800, Ez ADU KPDNHEP(aplikasi telefon pintar),Pusat Informasi dan Gerakan Strategik(PIGOS) di talian 03-88826088/6245, aplikasi Whatsapp ke 019-2794317, surat rasmi je Pejabat KPDNHEP berdekatan atau lapor/hadir ke mana- mana pejabat KPDNHEP di seluruh negeri ini, ujarnya lagi.

Salihin, dalam pada itu, berharap kesemua peniaga akan terus mematuhi arahan yang ditetapkan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan hak mereka.