KUCHING: Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak 2026 kembali dengan pelbagai tawaran pakej percutian, promosi eksklusif, produk pelancongan serta cabutan bertuah pada 22 dan 23 Ogos depan bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pameran yang dibuka secara percuma dari jam 9 pagi hingga 9 malam itu bakal menghimpunkan syarikat penerbangan, ejen pelancongan, hotel, organisasi pelancongan serta pengusaha industri berkaitan di bawah satu bumbung.
Pengerusinya, Dayang Azizah Abang Zaidan, berkata pameran pelancongan terbesar di Sarawak itu kekal menjadi platform utama yang menghubungkan pengguna dengan pemain industri pelancongan bagi memenuhi keperluan perjalanan domestik dan antarabangsa.
“Pameran MATTA Sarawak terus menjadi platform penting untuk orang ramai mendapatkan pelbagai pilihan pakej percutian serta maklumat perjalanan di bawah satu bumbung.
“Justeru, kami berharap penganjuran tahun ini akan terus merancakkan industri pelancongan, selain meningkatkan keyakinan pengguna untuk melancong sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya pada sidang media Pameran MATTA Sarawak 2026 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata industri pelancongan kini menunjukkan pertumbuhan positif didorong oleh akses perjalanan yang lebih baik, peningkatan permintaan pelancongan serantau serta minat terhadap pengalaman pengembaraan yang lebih autentik.
“Sarawak berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan perkembangan tersebut menerusi keunikan produk pelancongannya yang merangkumi alam semula jadi, budaya, pengembaraan, gastronomi serta pelancongan berasaskan komuniti,” jelasnya.
Tambahnya, sepanjang dua hari penganjuran pameran itu, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai promosi menarik termasuk pakej percutian pada harga istimewa.
“Pelbagai pilihan turut ditawarkan kepada pengunjung yang merancang percutian domestik, percutian ke luar negara, lawatan pendidikan, umrah dan ziarah, selain perjalanan perniagaan.
“Kita turut menggalakkan amalan pelancongan bertanggungjawab dengan mempromosikan destinasi dan pengembaraan yang menyokong kelestarian komuniti setempat serta pembangunan ekosistem pelancongan secara mampan,” tegasnya.
Sementara itu, Malaysia Airlines dan Firefly sekali lagi dipilih sebagai syarikat penerbangan rasmi, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan sektor pelancongan.
Selain itu, RHB Bank Berhad turut kembali sebagai rakan bank rasmi bagi memperkukuh kerjasama strategik antara MATTA, institusi kewangan dan pemain industri pelancongan dalam menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan.






