Pampasan tanah dibayar adil

TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak sentiasa peka terhadap kehendak rakyat dengan menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih sempurna bagi mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi terutama di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rakyat perlu memahami dan menyedari hasrat murni kerajaan itu di samping memberi kerjasama dan sokongan demi kebaikan pada masa depan.

Sehubungan itu katanya, pembayaran pampasan membuktikan Kerajaan Sarawak tidak merampas tanah seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Kita membayar pampasan secara adil dan munasabah kepada pemiliknya apabila pengambilan tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi projek pembinaan jalan yang menghubungkan Mupong ke Sibu dan Tanjung Manis di Dewan IKS Tanjung Manis, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran. Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Awang Tengah berkata, isu yang menyatakan pembayaran merugikan pemilik tanah, pengambilan balik tanpa notis dan pembayaran seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak tidak timbul sama sekali.

Menurutnya, kerajaan mengambil balik tanah untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat.

Pada majlis itu kerajaan menyerahkan 73 cek pampasan yang berjumlah RM251, 262.80 kepada seramai 41 orang pemilik tanah yang terlibat dalam projek berkenaan.

Projek jalan raya sepanjang 5.124 kilometer yang bernilai kira-kira RM21 juta itu dijangka mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi terutama sektor pertanian di sepanjang laluannya.

Hadir sama, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Pegawai Penilai Jabatan Tanah dan Survei Sarikei, Diana Farhana Abu Bakar

Suara Sarawak