Pan Borneo capai 60 peratus progress

KUCHING: Projek Lebuh Raya Pan Borneo mencapai kemajuan 60 peratus di Sarawak manakala kira-kira 45 peratus di Sabah, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, sebelum ini projek itu agak ketinggalan kerana Rakan Pelaksana Projek (PDP) ditamatkan oleh kerajaan terdahulu.

“Kini kita sedang mencari jalan bagaimana kita mampu menyelesaikan masalah ini dengan pantas seperti melantik syarikat terbabit untuk membantu Jabatan Kerja Raya dalam mencari jalan bagi melaksanakannya,” kata beliau.

Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin: Pengurusan Pandemik Covid-19 yang diadakan di bangunan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan peratusan kemajuan projek itu setakat Januari tahun ini. “Bagi Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, kita mempunyai keseluruhan 11 pakej manakala di Sabah kita mempunyai 10 pakej,” ujarnya. Terdahulu, projek ini juga dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

Suara Sarawak