Pan Borneo: Jalan Nyabau ke Simpang Bakun siap, dibuka Isnin ini

KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ‘Sarawak Kick-Off Project’ (KOP) dari Jalan Nyabau ke Simpang Bakun telah disiapkan, dan sedia untuk dibuka kepada prang ramai Isnin ini.

Jabatan Kerja Raya Sarawak berkata bagaimanapun masih ada sedikit baki kerja-kerja yang perlu dilaksanakan terutama di bahagian permulaan dan penghujung laluan empat lorong jalan raya dua hala sepanjang 43 km itu.

Sehubungan itu jabatan berkenaan meminta orang ramai mematuhi rancangan pengurusan trafik dan memperlahankan kenderaan mereka semasa melalui zon-zon pembinaan.

“Pengguna jalan raya diingatkan supaya menggunakan “P-turn” yang disediakan untuk berpatah balik, membelok di tempat yang tidak sesuai, tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Pembinaan jalan itu bermula pada 30 Mac 2015, melibatkan empat jambatan melintasi Sungai Sebiew 1, 2 dan 3, serta Sungai Similajau.

KOP ini bukan sebahagian daripada 11 pakej kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo RM16.49 bilion yang memulakan pembinaannya secara berperingkat sejak September 2015.

Suara Sarawak