KUCHING: Seksyen Sarikei iaitu Bukit Begunan dan seksyen Lambir dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak direka bentuk semula ekoran masalah bentuk muka bumi.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, reka bentuk itu dibuat semula agar bersesuaian dengan bentuk muka bumi.
“Bukit Begunan diruntuh semula untuk membina benteng kuat sementara Lambir perlu dibuat kerja semula kerana tanahnya lembut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Berhubung penyelenggaran dan pembinaan semula laluan empat lorong sedia ada atau ‘Red Line’, Nanta berkata, projek tersebut akan dijalankan secara berfasa.
Katanya, projek tersebut akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaik pulih jajaran dalam ‘Red Line’ tersebut.
Justeru beliau berkata, fokus ketika ini adalah untuk menyiapakan jajaran yang belum siap iaitu di Bukit Begunan dan Lambir yang merupakan sebahagian daripada jajaran ‘Red Line’ berkenaan.