KUCHING: Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak, satu daripada projek utama di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), menunjukkan kemajuan positif apabila fasa pertamanya mencapai kemajuan hampir 80 peratus.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, salah satu projek bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo yang telah siap adalah jajaran Julau dan akan dirasmikan pada minggu hadapan.
Jelasnya, beliau sendiri akan bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam melancarkan pakej Pan Borneo bagi jajaran Julau berkenaan.
“Manakala bagi satu lagi jajaran iaitu jalan Serian ke Pantu, projek ini juga hampir siap dan boleh dikatakan 99 peratus siap. Insya-Allah kita akan mengadakan upacara bagi penyerahan projek ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama pengamal media Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, perancangan KKR juga adalah untuk memastikan fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dapat disiapkan dan peruntukan tahunan RM1 bilion akan diteruskan.
Sementara itu, bagi jajaran Pan Borneo yang lain, Fadillah mendedahkan jika mengikut perancangan, jajaran yang lain akan siap pada penghujung tahun 2023.
“Namun, secara realistiknya dengan cabaran yang ada seperti bekalan, wabak pandemik dan sebagainya, ada kemungkinan sedikit projek akan melangkaui tahun 2023 dan mungkin siap pada awal 2024,” ujarnya.