IMPAK pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo semakin dirasai oleh segenap rakyat di seluruh pelosok Sarawak dan Sabah.
Di Sarawak, berbaki sedikit lagi seksyen yang belum siap.
Kalau dari Kuching ke tempat penulis, Alhamdulillah… selesa perjalanan menggunakan kereta.
Tiada lagi “dilambung ombak”. Namun, di sebalik wujudnya pembangunan infrastruktur ini, ada juga sudut kurang enak dilihat dan didengar.
Terutama kerenah pengguna jalan raya yang mementingkan diri.
Ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Pusingan-P misalnya, memang sebelum adanya Lebuh Raya Pan Borneo, kita jarang melihat peraturan itu di sini.
Boleh dikatakan elemen baharu dan mungkin atas sebab itu masyarakat kita “asing” dengan pusingan-P.
JANGAN AMBIL MUDAH
Diciptakan pusingan-P untuk memudah dan memastikan pengguna selamat apabila hendak berpatah balik.
Tetapi apabila sering diambil mudah, silap hari bulan bertembung.
Tidak dapat dinafikan, ramai sebenarnya pengguna jalan raya yang tidak patuh penggunaan pusingan-P.
Mereka sanggup mengambil risiko daripada menggunakan jalan selamat yang sedikit jauh.
Sehubungan itu, ramai mencadangkan diletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap pusingan-P, seterusnya diambil tindakan jika melanggar peraturan.
Ingatlah, kalau bukan kita sendiri siapa lagi?
Pemandu seharusnya faham tentang penggunaan lorong.
Asas pemanduan — ikut (laluan) kiri jika tidak memotong, jangan menggunakan telefon semasa memandu kereta atau menunggang motosikal.
Apabila seseorang menggunakan telefon semasa memandu, kita tidak memberi sepenuhnya fokus kepada pemanduan.
Kita mengabaikan kenderaan yang berada di kiri dan kanan.
Justeru, bersamasamalah kita beringat agar mengutamakan keselamatan.
Tidak berbaloi jika nyawa melayang berpunca daripada kelalaian di jalan raya.
Berdasarkan banyak rungutan tentang Lebuh Raya Pan Borneo, yang paling dikehendaki oleh pengguna untuk ditambah baik ialah papan tanda keselamatan dan nama tempat.
PAPAN TANDA
Bukan tidak ada, tetapi tidak cukup terutama di kawasan yang agak berbahaya.
Ini penting bagi informasi pengguna jalan raya dan bersedia awal.
Begitu juga papan tanda nama tempat, rata-rata simpang masih belum ada.
Kita positif, mungkin masih belum dibuat atau dalam proses. Jika tiada papan tanda nama, sangat menyukarkan kita mengetahui sesuatu simpang.
Harapannya, menjelang akhir tahun ini semua isu yang dibangkitkan pengguna jalan raya dapat diselesaikan.
Antara lain melaksanakan langkah keselamatan yang komprehensif termasuk dipersimpangan yang direka bentuk dengan baik, pencahayaan dan penghadang atau pagar jika perlu.
Juga, penyelenggaraan tetap lebuh raya adalah perlu untuk memastikan kebolehgunaan dan keselamatan jangka panjangnya termasuk pemeriksaan rutin, pembaikan tepat pada masa dan langkah proaktif untuk menangani haus dan lusuh.
Infrastruktur perkhidmatan kecemasan yang mencukupi untuk perkhidmatan kecemasan, seperti pusat akses, kawasan rehat dan kemudahan untuk bantuan perubatan, harus diletak secara strategik di sepanjang lebuh raya.
Dalam pada itu melaksanakan sistem pengurusan lalu lintas pintar boleh membantu mengoptimumkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan jalan raya secara keseluruhan.
Jangan diabaikan kebolehcapaian Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menggabungkan teknologi moden seperti lampu isyarat pintar, pemantauan trafik masa nyata dan sistem komunikasi lanjutan.
Apabila siap sepenuhnya, ia turut hadir bersama 1,001 impak positif kepada penduduk sekitar.
Paling ketara, aspek ketersambungan dan kebolehcapaian lebih baik dapat dinikmati rakyat secara keseluruhannya.
KEMAJUAN DRASTIK
Misalnya dalam pembangunan wilayah.
Apabila sistem perhubungan kita baik, ia boleh menarik pelaburan, seterusnya pembangunan ke kawasan yang sebelum ini terpencil atau kurang mendapat perkhidmatan.
Seterusnya, wujud industri baharu, peluang pekerjaan, dan peningkatan kualiti hidup penduduk.
Ekonomi yang berkembang memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan, yang membawa kepada peningkatan perdagangan dan aktiviti ekonomi.
Perniagaan boleh mengangkut bahan mentah, produk siap dan bekalan dengan lebih cekap — mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti.
Begitu juga pertanian, mereka mengangkut hasil untuk dihantar ke pasaran dengan cepat serta kos efektif melalui akses jalan raya yang baik.
Akhirnya, merangsang pertumbuhan pertanian dan memperkasa masyarakat luar bandar.
Nilai hartanah di kawasan yang mempunyai akses jalan raya yang baik cenderung lebih tinggi kerana kemudahan dan daya tarikannya.
Begitu juga elemen pelancongan, memudahkan pelancong luar mengakses tarikan yang sebelum ini mungkin “terlindung” disebabkan oleh faktor geografi.
Contoh yang sangat jelas boleh kita lihat sendiri di kawasan Telok Melano, kini dibanjiri pelancong sejak dihubungkan dengan Lebuh Raya Pan Borneo.
Hal yang sama tentang memupuk integrasi sosial dengan menghubungkan komuniti terpencil.
Secara tidak langsung, ia membawa kepada pertukaran budaya yang lebih besar, akses lebih baik kepada perkhidmatan sosial dan rasa perpaduan lebih kukuh.
Pada masa yang sama turut mendorong pembangunan infrastruktur lain seperti rangkaian pengangkutan awam, utiliti dan sistem komunikasi.