Pandemik buka ruang dan peluang #AminHayatShow

MUKAH: Lembaran baru buat personaliti TV tanah air Amin Hayat yang lebih dikenali Amin Hayat Abd Rahim, 39, apabila tampil dengan rancangan temu bual bertajuk AminHayat Show .

Bersiaran secara dalam talian untuk di media sosial Facebook dan YouTube, AminHayat Show akan mula bersiaran pada 12 April ini yang akan mengupas mengenai pengalaman peribadi usahawan tempatan mahupun selebriti tanah air.

Tiada siapa menyangka pelajar Kejuruteraan Perisian UTM Skudai Johor ini sudah lebih 14 tahun aktif dalam dunia penyiaran sehingga pernah merangkul Anugerah Laporan Khas Berita TV Terbaik pada pada Anugerah Seri Angkasa 2010.

Dikenali sebagai penyampai berita di TV9 dan kini menjadi penyampai berita sambilan di stesen berkenaan, Amin percaya falsafah “di mana ada kemahuan di situ ada jalan” (#AdaJalanNya) menjadi pegangan buat dirinya untuk terus bergerak selain menjadi tema rancangan tersebut.

“Saya rasa hastag ini dapat memberi satu semangat dan inspirasi. Kita dihujani dengan masalah pandemik Covid-19 dengan banyak aktiviti perniagaan ditutup, gulung tikar. Jadi dengan adanya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelas Amin, sepanjang terlibat dalam dunia penyiaran, pelbagai pengalaman suka duka dilaluinya dan banyak mentor membantunya menempuhi perjalanan kerjayanya.

Pengalaman tersebut menjadi titik permulaan untuk Amin menghimpunkan ramai usahawan pelbagai latar belakang dan industri berbeza dengan harapan dapat membuka peluang kepada semua.

Bertempat di New World Hotel Petaling Jaya, pelancaran AminHayat Show turut mendapat kerjasama High Flyer Asia (HFA), platform M-Commerce Malaysia (JOCOM), Tupperware Brands, Pinky Tailor Zeveshoes dan MTHREE Group of Companies.

Turut diadakan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara AminHayat dan JOCOM sambil disaksikan tetamu undangan yang hadir.

Bersempena dengan Ramadan yang akan tiba, segmen “Bersedia menyambut Ramadan dengan AminHayat” menerusi AminHayat Show tersebut akan disiarkan melalui Facebook Live untuk 12 episod.

Sejajar itu, beliau teruja untuk melalui perjalanan itu dan mendedahkan pelbagai aktiviti menarik akan dirancang sepanjang program diadakan.

“Saya berharap semua penonton di seluruh Malaysia dapat memberikan sokongan dalam rancangan berkenaan.

“Untuk menonton rancangan dalam talian ini, orang ramai boleh melawat Facebook dan Youtube “AminHayat Show,” katanya.

Suara Sarawak