EMPAT hari sebelum sambutan Gawai Dayak lalu, saya membelah Lebuh Raya Pan Borneo sejauh 401 kilometer dari Kuching ke Sibu dengan hanya mengambil masa 5 jam 20 minit.
Ini kali pertama saya menggunakan jalan darat sejak 2016, seingat saya kerana sebelum lengkapnya Pan Borneo, perjalanan ke bandar terkenal dengan kampua itu dari Kuching memakan lapan jam menggunakan jalan darat, 40 minit menaiki pesawat dan tiga setengah jam menelusuri jalan air.
Sebelum ini, ramai rakanrakan memuji perjalanan semakin pendek, jalan raya empat lorong yang lebih selamat dan tidak lagi seperti di dalam kapal mengharungi ombak besar – beralun-alun kerana jalan rosak.
Malam sebelum berangkat saya agak ragu-ragu, terutamanya memikirkan keselamatan anakanak. Di dalam hati saya berkatakata, tidak apa, andai terjadi apaapa sepanjang jalan 401 kilometer itu, saya reda.
Sebagai manusia, kita tidak dapat menjangka apaapa yang berlaku tetapi kita dapat berusaha mengelaknya kerana malang selalunya tidak berbau. Jam 6 pagi, kami turun dari pusat bandar menuju Serian.
Cuacanya dingin, cahaya semakin terang dan jalannya selesa.
Sepanjang ke Serian, saya mula berasa selesa kerana kenderaan tidak banyak. Kami sampai lebih awal daripada jangkaan sebelum meneruskan perjalanan ke Sri Aman. Jalannya juga tenang, cahaya matahari mula memancar dan sepanjang jalan, kita dapat melihat dengan jelas kiri kanan jalan yang agak sunyi.
Pada firasat saya mungkin kerana orang belum cuti Gawai Dayak walaupun cuti sekolah baru bermula.
Keluar dari simpang Serian, saya melihat jam 6.50 pagi.
Ertinya kami cuma mengambil masa 50 minit ke Serian, itu agak lambat, biasanya saya diberitahu dengan jalan yang semakin elok — hanya 40 minit pemanduan.
Kemudian tertoleh papan tanda ke Sri Aman, 132 kilometer.
Mengikut perkiraan saya, mungkin mengambil masa sejam setengah. Dari Serian, kekhuatiran saya mula memutik kerana saya mula terbayang Bukit Begunan.
Bukit terletak di antara Serian dan Sri Aman ini dianggarkan setinggi 30 meter.
Jika dulu, melalui jalan ini merupakan fasa seram bagi saya, orang lain saya tidak tahu kerana jalan berbukit dua lorong ini agak berbahaya malah diisytiharkan sebagai kawasan kerap kemalangan.
Jika sebut Bukit Begunan, ramai yang mengeluh disebabkan oleh kerosakan laluan jalan raya di situ, ketika itu.
Dulu ada yang mempercayai kawasan ini ada penunggu kerana di sini kerana banyak nyawa yang terkorban.
Jalan ini agak sunyi dan lengang terutama waktu malam dan di kiri kanannya hutan. Diceritakan mulut ke mulut tempatnya agak keras.
Kononnya ada yang memandu kereta dan tidak nampak jalan, ada orang tahan di tengah jalan minta tumpang dan ada mendakwa, melihat perempuan duduk menangis di tepi jalan.
Betul atau tidak, hanyalah cerita orang.
Mungkin benar mungkin tidak, terpulang dengan kepercayaan masing-masing.
Jangkaan saya sangat meleset.
Saya ingat, jika ya pun Pan Borneo siap di sini, mungkin lencongannya masih tajam, turunnya masih curam.
Tidak sama sekali. Ia menjadi jalan empat lorong yang datar dan sangat selesa.
Seingat saya daripada berita sebelum ini, bukitnya didatarkan ditukar kepada reka bentuk khas menggunakan batu seberat 721,000 meter padu sebagai tambak untuk jalan empat lorong.
Saya melihat kiri kanan jalan, hutannya tidak lagi menyeramkan.
Kami meneruskan pemanduan ke Sri Aman sehingga 8.20 pagi, saya melihat persimpangan di atas jalan raya bertingkat.
Belok kanan menuju ke Sarikei/Sibu dan lurus 10 kilometer ke dalam menuju bandar Sri Aman.
Saya melihat jalan raya bertingkat seluasnya 19.4 hektar sepanjang 1 kilometer — angka itu berdasarkan berita yang pernah saya sunting sebelum ini.
Ia agak moden apabila diletak di tengahtengah hutan di antara Kuching dan Sarikei.
Sudah pasti ia mampu menyuraikan trafik dari Serian ke Sri Aman dan Betong supaya bergerak dengan lebih selesa dan selamat.
Selain itu, ia menyokong pembangunan Lachau, Temudok, Sri Aman, Engkilili dan Skrang dengan akses jalan raya yang lebih baik.
Kami meneruskan pemanduan ke Sarikei, jalan empat lorong masih menarik perhatian saya.
Saya seperti orang luar Sarawak yang baru tiba — seolah-olah semuanya baharu di mata saya.
Sampaikan saya tidak sedar, kami melalui R&R bersebelahan Petronas di Betong.
Kalau dulu, apabila tiba di sini, ia menjadi tanda aras bahawa kita sudah berada di tengah-tengah Sri Aman dan Sarikei.
Kami terus memandu walaupun jalan empat lorong ada yang ditutup sebelah — ia jadi jalan dua hala — kerana kerja-kerja pembinaan belum selesai.
Pada mulanya, saya agak keliru ingatkan kami berada di lorong bertentangan. Kami memberhentikan kereta, melihat kereta di belakang pun sama.
Betul, inilah jalannya. Cuma saya terkejut melihat beberapa kumpulan bermotosikal tanpa topi keledar, ada yang berkereta memandu di lorong yang ditutup itu.
Ini agak mengelirukan bagi orang seperti saya, kerana tanda arah jalan tutup tiada, warna jalur jalan juga tidak menandakan dua lorong sebelah kiri ditutup.
Tahukah anda, keadaan ini sangat membahaya jika anda orang luar pertama kali menggunakan jalan ini terutamanya pada waktu malam.
Kami memperlahankan pemanduan walaupun jalan agak lengang sehingga sampai ke simpang Sarikei-Sibu.
Saya juga tertarik dengan pusingan P di beberapa jalan yang tidak digunakan sepenuhnya oleh sesetengah pemandu.
Mata saya sempat menangkap kenderaan yang membuat pusingan U di pusingan P. Sikap ini membahayakan nyawa orang lain.
Sama seperti mengalih tanda arah di jalan yang ditutup sebelah hanya kerana mahu perjalanan singkat.
Jangan… kerana Lebuh Raya Pan Borneo dibina supaya rakyat dapat memandu dengan selamat dan selesa — bukan lebuh raya menuju maut.
Secara keseluruhannya, pemanduan bermula jam 6 pagi dari bandar Kuching dan sampai jam 11.20, hampir tengah hari di bandar Sibu memberi pengalaman yang sangat menarik.
Saya mahu anakanak melihat, berasa nikmat, rasa selesa dan selamat — jangan tidak tahu, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mereka.
Jangan kerana lopak kecil di jalan besar, kita menuding jari seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa.
Kerajaan sudah membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sarawak.
Kita harus bersyukur dan berterima kasih!