Teruna berani buka perniagaan syarikat bukan bumiputera

Trending

Panggang ayam di dalam pasu bunga

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KOTA SAMARAHAN: Berinspirasikan fenomena ayam panggang pasu di Semenanjung Malaysia, Anizan Hussein kini membuka perniagaan ayam di Taman Samarindah, Samarahan.

Anizan, 51 berkata, beliau memulakan perniagaan ayam di dalam pasu sejak 2017 selepas melihat bagaimana juadah itu mencetus fenomena luar biasa di Malaya.

“Saya terfikir juadah ini boleh dijadikan pendapatan sampingan selepas saya bersara,” kata pesara Askar Melayu di Kem Tentera Semenggok ini.

Anizan yang berasal dari Perlis memberitahu, dia menetap di Sarawak sejak 1995 semasa masih berkhidmat di negeri ini sehingga berkahwin dengan anak tempatan di sini.

“Pada awalnya, saya buat perapan menggunakan cita rasa Sarawak.

Di Sarawak, cita rasa lebih kepada sos kicap pedas, tetapi di Semenanjung Malaysia, mereka lebih gemar menggunakan kari dan air asam untuk dimakan dengan ayam,” jelasnya kepada Suara Sarawak.

Selain itu, pemilik Ayam Panggang Pasu Samarahan itu menjelaskan proses perapan turut diubah sedikit kerana menggunakan rempah perapan yang berbeza daripada ayam panggang biasa.

“Pada mula saya berniaga, saya banyak bertanya kepada rakan di Semenanjung Malaysia mengenai cara perapan dan memanggang ayam di dalam pasu, kemudian diolah sedikit.

“Memanggang menggunakan pasu, caranya lain sedikit kerana wap dan haba yang meresap ke dalam isi ayam tidak sama seperti panggang biasa,” ujarnya.

Baca lain  Lelaki ditemui selamat selepas dikhuatiri hilang mencari lokan

Menjelaskan lagi, rasa ayam lebih berjus dan konsep ayam panggang pasu itu lebih kepada panggang dan kukus.

Misalnya, luaran ayam kelihatan seperti dipanggang, tetapi isinya seperti dikukus.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan penggunaan pasu, Anizan memaklumkan pada mula berniaga dia menggunakan 10 pasu bunga. Kini katanya, beliau menggunakan 12 pasu bunga kerana pelanggan semakin bertambah dan permintaan tinggi terhadap ayam panggang pasunya itu.

“Dari segi kos pasu pula, saya mendapatkan pasu dengan harga RM40 satu set.

Pasu ini tidak tahan lama kerana ia cuma pasu bunga biasa, bukan daripada tanah liat.

“Kalau di Semenanjung Malaysia, mereka gunakan pasu buatan Thailand yang dibuat dengan tanah liat khas.

Harganya sekitar RM80 untuk sebuah pasu,” katanya sambil memberitahu dia sering menggantikan pasu kerana tidak tahan panas.

Ketika ditanya mengenai tempoh memanggang ayam menggunakan pasu, Anizan memberitahu seekor ayam boleh dipanggang selama 45 minit hingga sejam.

“Kalau lebih daripada itu, rasanya tidak berjus dan aromanya jadi lain.

Dari segi perapan juga tidak boleh lama.

“Kalau perap semalam dan dibakar pada hari ini, rasa ayam jadi lain kerana tiada rasa isi ayam, tetapi berasa rempah,” ujarnya.

Baca lain  Pelajar, calon SPM diberi pengecualian

Jelas Anizan lagi, beliau mengamalkan konsep berniaga sambil bersedekah.

“Saya jual seekor dengan harga RM20, tidak kira saiz sama ada besar atau tidak, sebab saya tahu ramai pelanggan yang tidak mampu.

“Kalau di Semenanjung pula, harga ini mencecah RM29 seekor mengikut saiz,” tambahnya lagi.

Anizan menambah, dalam sehari beliau menyasarkan sekitar 30 ekor ayam untuk dihabiskan sehingga jam 6 petang pada setiap hari.

“Jarang juga ayam panggang tidak habis. Tetapi jika tidak habis, saya sedekahkan kepada jiran.

“Sekarang saya buka setiap hari. Tidak macam dahulu buka pada bulan Ramadan sebab sambutan semakin ramai.

“Kalau saya tidak buka, pelanggan akan menghubungi dan bertanya kenapa tidak buka.

Kadangkala saya berniaga bergantung kepada bekalan ayam, kalau ada bekalan saya akan berniaga,” katanya lagi.

Untuk bekalan ayam pula, beliau mengambil daripada pembekal biasa dan menggunakan RM50 arang untuk memanggang ayam di dalam sebuah pasu.

Menceritakan pengalaman berniaga semasa bulan Ramadan, Anizan mendedahkan mendapat sambutan dan menjual sekitar 60 hingga 70 ekor ayam sehari.

Malah pendapatan itu amat berbaloi ketika bulan Ramadan, memperoleh pendapatan bersih sekitar RM500 hingga RM600.

“Kadang-kala anak menolong, jadi dapat buat banyak. Kalau anak kembali belajar, saya tidak terdaya menjual banyak.

Baca lain  Rezeki bubuk laut masuk sungai di Mukah

“Sambutan pelanggan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga amat menggalakkan dan pelanggan tidak banyak mengadu.

“Cuma kadangkala pelanggan selalu beritahu sos tidak cukup,” ujarnya sambil ketawa. Anizan menghadapi cabaran kerana cuma berjual di bawah khemah biru di tepi jalan Taman Samarindah.

“Cabarannya semasa hujan kerana saya guna khemah.

Kadangkala basah, dan yang merisaukan apabila air hujan terkena dengan ayam.

“Kalau ayam rosak, saya juga yang akan rugi,” jawabnya berseloroh. Dalam perkembangan sama, Anizan turut berkongsi pengalamannya pertama kali memanggang ayam menggunakan pasu.

“Pertama kali buat dulu, ayam panggang hangus sebab tidak tahu cara hendak mengawal api.

Apabila kita dapat mengawal api, kita dapat mengawal habanya. Habanya yang memanggang ayam hingga masak.

“Sebab itu, proses memanggang ayam pasu ini perlu tahu menjaga haba. “Kalau tengok haba semakin perlahan, kita boleh tukar. Kalau berangin, senang nak kawal haba ayam, tetapi kalau tidak ada angin, terpaksa menggunakan kipas,” jelasnya.

Anizan menjelaskan, terdapat rakannya yang mencadangkan dia membuka kedai namun tidak dapat kerana anak-anaknya masih bersekolah.

Orang ramai yang ingin membeli ayam panggang pasu boleh menghubungi Anizan di talian 012-8970554 atau datang ke gerai Ayam Panggang Pasu Samarahan di Taman Samarindah.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

28 Mei 2023

Berita Terbaru