Pantai Damai FC ledak 10 gol

SKUAD pilihan, Pantai Damai FC melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Abang Johari 2019 setelah membelasah wakil dari Lundu, Sileng United 10-0 dalam aksi di Padang KDFA, Taman Sourabaya petang semalam.

Pesta gol Pantai Damai FC bermula pada minit ke-29 menerusi Mohd Izzudin Jahidin. Mohd Adib Salim menggandakan jaringan pada minit ke-49. Adib sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila meledak gol pada minit ke-61 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-84.

Wan Badzreen Wan Yusuf turut mencipta hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-65, 68 dan 90. Bekas pemain Sarawak, Mohammad Hafiz Abu Bakar turut mengukir nama selaku penjaring pada minit ke-67. Mohd Syazwan Busrah dan Mohd Syazwan Rahmatullah pula masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-78 dan 87.

Ketua jurulatih Pantai Damai FC, Samsul Napiah berkata, persiapan seminggu berjaya diterjemahkan dalam perlawanan tersebut. “Tahniah kepada semua pemain kerana memberi tumpuan penuh dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurutnya, selepas ini Pantai Damai FC akan memberi tumpuan perlawanan separuh akhir menentang skuad serba kental, Kasika CF.

“Perlawanan separuh akhir memang sukar dan kita perlu lebih bersedia dari segi mental dan tidak membuat kesilapan mudah,” ujarnya.

Manakala satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pasukan SSC PC dan 3 Lions.