Pantai Damai ke final

SKUAD Pantai Damai FC melakar sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Abang Johari 2019 selepas menumbangkan pasukan handalan Kasika CF 2-0 dalam aksi separuh akhir di Padang D, Petra Jaya Kuching petang semalam. Beraksi di atas padang becak menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan serangan ke kubu lawan.

Pantai Damai FC memperolehi jaringan pendahuluan pada minit ke-26 hasil gol sendiri pemain Kasika CF, Zulikhsan Salleh. Penyerang sensasi Pantai Damai FC Mohd Adif Salim menggandakan jaringan pada minit ke-45.

Ketua jurulatih Pantai Damai FC, Samsul Napiah begitu gembira dengan kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir. “Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini hasil komitmen jitu semua pemain,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurutnya, semua pemain menunjukkan disiplin tinggi dan tidak melakukan kesilapan mudah. Beliau berkata, tumpuan selepas ini adalah perlawanan akhir. “Kita tidak memandang rendah kemampuan lawanan kerana perlawanan akhir berbeza dengan saingan liga,” ujarnya.

Perlawanan akhir bakal menyaksikan Pantai Damai FC menentang 3 Lions Rakan Cop. Namun tarikh final belum ditetapkan. Inilah peluang terbaik bagi Pantai Damai untuk menebus kecewa dalam saingan Liga Kuching LSC baru-baru ini. Mereka menguasai takhta liga begitu lama, namun tewas pada penghujung saingan, apabila kejuaraan dirampas oleh Yayasan Sarawak.