Pantai Damai pilihan juara

SKUAD Pantai Damai FC akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan akhir menentang 3 Lions Rakan Cop di Stadium Negeri pada jam 3.00 petang ini (Ahad) bagi memastikan Piala Abang Johari dalam dakapan.

Ketua jurulatihnya, Samsul Napiah berkata, setakat ini persiapan pasukan berada pada tahap terbaik walaupun cuaca kurang mengizinkan.

Menurutnya, Pantai Damai FC tidak akan memandang rendah kemampuan pasukan lawan kerana apa-apa boleh berlaku dalam perlawanan akhir.

“Alhamdulillah persiapan pasukan berjalan lancar walaupun berlatih dalam hujan.

“Kita turun habis-habisan dalam perlawanan akhir ini dan semua pemain perlu mengeluarkan apa sahaja yang mereka ada untuk menang,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Samsul turut berharap anak-anak buahnya tidak melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan penting itu.

“Saya sentiasa mengingatkan pemain agar fokus sepenuhnya.

“Kita tidak mahu pemain memandang rendah kemampuan lawanan kerana aksi perlawanan akhir dan liga amat berbeza,” ujarnya.

Pantai Damai FC layak ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Kasika CF 2-0, manakala 3 Lions Rakan Cop mengalahkan Yayasan Sarawak 5-1 pada separuh akhir.

Pantai Damai merupakan pilihan juara dalam kejohanan kali ini setelah berjaya menumbangkan skuad handalan, Kasika CF.