Pantai Kuala Matu kini berwajah ceria

MATU: Pantai Kuala Matu sebelum ini jarang dikunjungi pengunjung kini kembali hidup dengan aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh peniaga kecil di kawasan itu.

Kewujudan gerai yang menyediakan pelbagai aneka jualan bukan sahaja menghidupkan suasana pantai tetapi juga berjaya menarik kehadiran pengunjung luar ke pusat peranginan berkenaan terutama pada hujung minggu.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati, orang ramai bertumpu ke lokasi tersebut mulai 10 pagi untuk beriadah bersama keluarga manakala, gerai jualan pula dibuka lebih awal dua jam sebelum itu.

Pengunjung, Mokthar Hassan, 35, berkata, langkah positif yang dilakukan oleh peniaga tempatan itu menjadikan pantai Kuala Matu yang dulunya sunyi kini meriah.

Malah katanya, sambutan yang diberikan oleh pengunjung juga amat baik dan mereka kelihatan begitu gembira menghabiskan masa bersama keluarga.

Pengunjung Pantai Kuala Matu kini boleh membeli pelbagai jenis produk makanan di gerai-gerai perniagaan yang ada.

 

“Sebelum ini, Pantai Kuala Matu lengang sebab tidak ada aktiviti tetapi berbeza dengan keadaan sekarang. Pengunjung bukan sekadar mahu lihat pantai dan laut sahaja tetapi juga ingin membeli belah dan menikmati makanan yang ada di sini.

“Sehubungan itu, saya harap suasana seperti ini dikekalkan sampai bila-bila kerana ia mampu memberi impak besar kepada penduduk khususnya peniaga kecil,” katanya.

Mokthar berkata, sejajar dengan perkembangan sihat itu, pantai Kuala Matu perlu dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan bagi menjadikannya sebagai sebuah pusat peranginan yang terkemuka.

Katanya, pantai tersebut mempunyai potensi yang tersendiri namun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dibangunkan.

“Langkah ini bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan ini seterusnya menjadikan Pantai Kuala Matu sebagai medan masyarakat melaksanakan pelbagai program. Difahamkan Kerajaan Sarawak telah menaik tarafkan Pantai Belawai dan saya yakin usaha itu juga boleh dilaksanakan di pantai ini,” katanya.

Dalam pada itu, Musa Ali, 56, berharap kebersihan di pantai itu dijaga secara berkala bagi menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

Bagaimanapun katanya, masyarakat setempat juga perlu bersama-sama menjaga kebersihan bagi meningkatkan imej kawasan terbabit sebagai kawasan tumpuan awam.

“Ini satu peluang keemasan kepada peniaga kecil tempatan untuk menambah pendapatan. Namun, saya ingin mencadangkan mereka agar lebih kreatif dalam usaha menarik lebih pelanggan.

“Yang paling penting Pantai Kuala Matu mesti mempunyai identiti sendiri yang berupaya memperkenalkan kawasan ini kepada pengunjung luar. Jika Mukah terkenal dengan umai, Belawai ikan kering dan salai, manakala Sarikei dengan buah nanas dan rotinya, pantai Kuala Matu juga mesti ada produk tertentu yang mampu menjadi tarikan kepada orang ramai,” ujarnya.

Suasana meriah di Pantai Kuala Matu

 

Pantai Kuala Matu kini mempunyai tarikannya yang tersendiri