Pantau kawasan tumpuan awam

MIRI: Penguatkuasaan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 diteruskan di kawasan tumpuan awam di sini.

Jawatan Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) bersama-sama PDRM, ATM dan Unit Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Miri (MBM) memantau situasi di Tamu Muhibbah Miri, Pasar Sentral Miri dan Pasar Basah Miri.

Menteri Bertanggungjawab JPBBM Datuk Lee Kim Shin berkata, pemantauan seawal jam 8 pagi itu diadakan untuk memastikan segala SOP Covid-19 dipatuhi.

Pada masa sama, semua kemudahan berkaitan SOP Covid19 juga perlu disediakan dan dipatuhi di kawasan tumpuan orang awam.

Hasil pemeriksaan, beberapa penambahbaikan dan ubah suai perlu dilakukan di premis tersebut.

“Orang ramai sebelum memasuki pasar dikehendaki mengimbas kod QR, namun jika tiada aplikasi MySejahtera perlu mengisi butiran dalam buku rekod.

“Paling penting orang awam perlu memakai pelitup muka sementara tanda arah masuk dan keluar dibuat supaya orang ramai tidak berpusu-pusu di laluan yang sama,” katanya Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan menjelaskan perkara berkenaan kepada penjaja dan peniaga berlesen berhubung keperluan mematuhi SOP Covid19.

“Mereka bersetuju dan faham keadaan sekarang yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengetatkan pematuhan SOP bagi mengekang penularan pandemik Covid-19,” ujarnya.

JPBBM tambahnya, serius memutuskan rantaian pandemik ini dan usaha ini akan dilakukan berterusan sehingga negara bebas daripada pandemik ini.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, wakil Pemangku Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang dan Pegawai Kesihatan Bahagian Dr. P. Raviwharmman antara yang turut hadir.

Suara Sarawak