Pantau rapi perokok di premis makanan

TANPA disedari sudah hampir lima bulan negara kita diselubungi ‘demam Covid-19‘ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu. Daripada PKP, diikuti PKP Bersyarat dan seterusnya PKP Pemulihan.

Sepanjang tempoh itu, masyarakat kita mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan, kerana inilah pengalaman pertama kita semua menghadapi wabak misteri yang amat unik ini dan amat berbahaya. Malah, kita sudah pun terbiasa dengan kehidupan dalam kelaziman baharu.

Ini kerana sebelum ini, kita tidak pernah tahu pun tentang beberapa istilah seperti penjarakan fizikal dan kluster. Yang pasti, kita harus bersyukur, kerana keadaan di negara kita sekarang ini semakin pulih, lebih-lebih di Sarawak apabila kini kita sudah pun diisytiharkan sebagai kawasan hijau.

 

Bagaimanapun, ia tidak bermakna, kita mengambil mudah tentang Covid-19. Ingat! misi kita belum lagi berakhir. Usaha berterusan perlu dlakukan bagi memastikan wabak misteri ini benar-benar lenyap.

Ketika sibuk bercakap mengenai Covid-19 sepanjang lima bulan ini, kita agak terlepas mengenai isu perokok di tempat awam, terutama di premis makanan.

Bermula 1 Januari 2020, undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan telah dikuatkuasakan.

Kompaun RM250 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. Jika kita perhatikan di kebanyakan premis sekarang ini, masih ramai yang merokok secara selamba di meja makan.

Malah perhatikan juga di bawah meja, puntung rokok kelihatan bersepah bersama abu. Seolah-olah tidak ada undang-undang dan mereka langsung tidak memikirkan pelanggan lain yang tidak merokok, yang terkena tempias asap rokok, amat membahayakan dari segi kesihatan.

Lebih memburukkan keadaan, mereka beranggapan undang-undang yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu dilonggarkan, kerana pihak kerajaan lebih fokus kepada penularan wabak Covid-19.

Persoalannya apakah faktor yang menyebabkan tanggapan tersebut? Adakah ia disebabkan penguatkuasaan undang-undang benar-benar dilonggarkan?

Pada 13 Jun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengingatkan bahawa Kementerian Kesihatan tetap meneruskan penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makanan dan menambah baik kempen itu bagi menjamin kesihatan serta kesejahteraan rakyat di negara ini.

Katanya, tanggapan orang ramai mengenai penguatkuasaan dilonggarkan adalah tidak tepat sama sekali. Undang-undang tetap berjalan seperti biasa.

Cuma fokus penguatkuasaan lebih kepada Covid-19. Sebagai rakyat, terutama perokok tegar, janganlah mengambil kesempatan yang boleh memberi kesan negatif kepada orang lain, hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu memantau rapi bagi memastikan golongan ini tidak terus bermaharajalela di premis makanan.

Suara Sarawak