SELANGOR: Jaguh para renang Sarawak, Rusdianto Rusmadi (S8) membuktikan kehebatannya masih terserlah.
Anak jati kelahiran bandar Kuching itu mencipta kejayaan berganda pada hari pertama acara renang dilangsungkan di Pusat Akuatik Selangor sebentar tadi.
Beliau meraih pingat emas dalam acara kegemarannya, 400 meter gaya bebas, sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan masa terpantas 5:20.93 saat.
“Memang gembira apabila berjaya meraih emas untuk Sarawak sebentar tadi.
“Lebih manis bagi saya ialah terciptanya rekod baharu kejohanan untuk acara ini,” ujar perenang kebangsaan itu.
Rusdianto yang berusia 33 tahun berkata, kejayaan berganda yang dicapai hari ini diharap dapat menjadi pemangkin untuk dirinya melakar kecemerlangan seterusnya.
Rusdianto akan bertanding dalam enam acara pada Para Sukma Selangor 2026.
Lima lagi acara menanti selepas ini dan beliau berharap dapat menghadirkan kilauan pingat emas.
Pingat perak dan gangsa acara tersebut masing-masing dimenangi Shahafiq Abdullah dari Sabah dengan catatan 5:47 saat dan Muhammad Aisy Mazlan dari Selangor dengan catatan 7:08 saat.






