SELANGOR: Pemain perseorangan wanita Para Badminton Sarawak, Nursyazwani Shahrom (SL4) bersedia untuk mengharungi saingan sebenar temasya Sukan Para Sukma Selangor 2026.
Misi utama adalah untuk menghadiahkan dua pingat emas buat Kontinjen Para Sukma Sarawak pada temasya kali ini.
Lantas, beliau mahu menjadikan penampilan dalam dua kategori kegemarannya, perseorangan dan beregu campuran sebagai landasan terbaik untuk merealisasikan pungutan pingat tersebut.
“Saya sudah bersedia untuk turun ke gelanggang, misi utama cuba menghadiahkan sekurang-kurangnya dua pingat emas untuk Sarawak,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Bagaimanapun, beliau melihat tiada jalan mudah untuk menuju ke arah itu kerana percaya pencabar dari negeri lain mempunyai keinginan sama.
Apa pun, pemenang pingat perak Para SUKMA Sarawak 2024 tetap yakin dirinya mampu memberikan persembahan terbaik pada perlawanan sebenar nanti.
Bagi acara beregu campuran, Nursyazwani akan berganding dengan Gregory Anak Kanyan.
Acara badminton berlangsung selama lima hari, iaitu dari 6 hingga 10 September di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam (KOMBES).






