KUCHING: Insentif khas disediakan oleh Kerajaan Sarawak kepada lima atlet para Sarawak sekiranya mereka berjaya membawa pulang sebarang pingat di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung dari 24 Ogos ini hingga 5 September depan.
Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Amanat Khas kepada lima atlet para Sarawak yang mewakili Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang disiarkan secara langsung di laman rasmi facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Ia disaksikan oleh lima atlet berkenaan secara maya.
“Kepada mana-mana atlet yang berjaya membawa pulang sebarang pingat kelak, ada insentif menanti anda dan kita akan bincangkannya kemudian,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Menteri yakin dengan kemampuan kesemua lima atlet para Sarawak berkenaan dalam mencipta kejutan di kejohanan berprestij dunia itu kelak.
“Dengan persiapan latihan, reputasi serta pengalaman yang ada pada semua atlet ini, saya yakin mereka mampu mencipta kejutan,” tambahnya.
Lima atlet handalan Sarawak yang akan beradu nasib bersama-sama kontinjen negara kelak ialah dua jaguh dunia iaitu Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting/72kg kebawah), Jong Yee Khee (Powerlifting/107kg kebawah).
Di samping dua perenang, Jamery Siga (S5) yang akan bersaing dalam acara 50 meter kupu-kupu dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (S5) yang akan bersaing dalam empat acara, 50 meter gaya bebas, 100 meter gaya bebas, 100 meter kuak dada dan 200 meter gaya bebas.
Di samping Wiro Julin akan berentap dalam acara memanah (Compound).
Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri turut mengumumkan pemberian elaun RM10,000 setiap sorang sebagai bekalan sepanjang berada di negara matahari terbit itu.