SARIKEI: Paras air di beberapa kawasan banjir di Julau menunjukkan penurunan setakat jam 11.00 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan Pertahanan Awam Shahrol Azizi Zaidi berkata, situasi di kawasan Rumah Edward Kunol adalah terkawal dan kediaman yang sebelum ini dinaiki air, sudah boleh didiami.

“Secara keseluruhan situasi di lokasi ketika ini selamat dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, APM Sarikei akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, penduduk dinasihati untuk sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan persekitaran mereka dan melaporkan kepada APM serta agensi penyelamat yang lain sekiranya paras air semakin meningkat.
“Ketika ini keadaan cuaca cerah,” tambahnya.