Pari gergasi tersangkut di jaring

DARO: “Saya cemas lihat objek besar kemerah-merahan tiba-tiba muncul di atas permukaan air dan tidak sangka itu ikan pari,” kata Mohd Nizam Lai, 27, nelayan Kampung Betanak yang mendaratkan ikan pari 200 kilogram.

Mohd Nizam berjaya menaikkan ikan pari tersebut dengan dibantu oleh bapanya, Lai Awi, 54, kawasan pesisir pantai Pulau Bruit yang terletak kira-kira sejam dari Kampung Betanak, pada jam 10.00 pagi tadi.

“Pada mulanya saya menyangka bakul besar tersangkut dalam jaring kami dan tambahan pula, saya tidak pernah melihat objek sebesar itu.

“Namun sebaik menariknya, kami terkejut melihat seekor ikan pari gergasi muncul di atas permukaan air.

“Kami mengambil masa hampir sejam untuk menaikkannya ke dalam bot sebelum pulang pengkalan,” katanya.

Nizam berkata, sepanjang empat tahun bergelar nelayan, ia merupakan pengalaman pertamanya mendaratkan ikan sebesar itu.

“Tidak ada sebarang petanda dan kami ke laut seperti biasa. Mungkin ini rezeki mungkin panas.

Sebaik sahaja tiba di pangkalan, kami menjualnya kepada seorang pembeli di kampung dengan harga yang berpatutan. ” katanya.

Kehadiran ikan berkenaan turut menarik perhatian penduduk yang ingin melihatnya dari dekat.

Suara Sarawak