KUCHING: Hanya 221 kerusi Parlimen akan diketahui keputusannya lewat malam ini, berikutan PRU-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai perlu diadakan semula, berikutan calon Pakatan Harapan, Karupaiya A/L Mutusami meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan media memaklumkan, telah menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai pada 16 November lalu.
Menurutnya, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 November dan menetapkan satu PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai perlu diadakan semula.
Oleh yang demikian jelasnya, proses pengundian di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, tidak akan diadakan hari ini (19 November).
Untuk itu, hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November (Khamis), hari mengundi awal pada 3 Disember (Sabtu) dan hari mengundi pada 7 Disember (Rabu). Sementara tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari.
Pada PRU-15 kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan Karupaiya (PH), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Datuk Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).
Kelmarin, calon-calon yang bertanding menghentikan kempen dengan menurunkan bahan kempen sebagai penghormatan kepada mendiang Karupaiya.