Parlimen: Tender dua projek jalan di Kapit dijangka dibuka Mac 2021

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Tegulang (Fasa 5) dan Jalan Balak Ke Penempatan Semula Metalun (Fasa 6), Kapit, Sarawak kini di peringkat pelantikan perunding dan tender bagi projek itu dijangka dibuka pada Mac 2021.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kedua-dua projek berkenaan telah diluluskan pelaksanaannya di bawah Rolling Plan ketiga Tahun 2018 Rancangan Malaysia ke-11 dengan kos keseluruhan masing-masing berjumlah RM61 juta dan RM112 juta.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata penyambungan bekalan air bersih dan terawat bagi Kampung Banting, Kampung Dandulit dan Kampung Sungai Beruang di Sandakan, Sabah kini dalam peringkat pembinaan.

Menurutnya, pembinaan itu adalah di bawah kementeriannya melalui projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kampung Dandulit dan kawasan sekitar Sandakan, dengan peruntukan sebanyak RM17 juta.

“Penduduk-penduduk kampung ini dijangka dapat menikmati air bersih dan terawat sepenuhnya pada 30 Sept 2021 apabila projek itu siap kelak,” katanya.

 

Suara Sarawak