SEJAK pusat hiburan ditutup akibat pandemik Covid-19, ramai yang mula mencari alternatif lain untuk berhibur.
Pada asasnya, berhibur tiada salahnya.
Asalkan dilakukan dengan cara yang betul, tanpa mengganggu jiran tetangga.
Pun begitu, yang merisaukan marhaen adalah hiburan yang pada awalnya bertujuan untuk mengurangkan tekanan, berubah menjadi parti liar.
Lebih membimbangkan, parti liar tersebut turut melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah, alkohol, perjudian dan pelacuran.
Dalam minggu ini sahaja, terdapat banyak serbuan dan tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis, di beberapa lokasi di seluruh negara.
Terbaharu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, menahan 71 orang yang terdiri daripada empat orang lelaki tempatan dan 67 warganegara Indonesia.
Selain terlibat dalam penganjuran parti liar di sebuah kondominium mewah, 23 orang daripadanya didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ganja dan ketamin.
Hal ini jelas membuktikan, setiap parti liar yang dianjurkan pasti melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Di sisi yang lain, penganjuran parti liar di kawasan perumahan bukan sahaja menimbulkan kegusaran marhaen, malah turut melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 8) (Pindaan) (No.4) 2020, yang masih berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2020.
Di samping itu, penganjuran parti liar bukan hanya melibatkan pekerja asing, malah turut disertai oleh penjawat awam.
Dalam satu serbuan pihak polis pada awal bulan ini di Bukit Bintang, turut ditahan lima penjawat awam yang sedang asyik berhibur.
Lebih mengejutkan, kesemua penjawat awam yang ditahan didapati positif dadah. Penglibatan penjawat awam dalam parti liar dan penyalahgunaan dadah bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah turut mencemarkan imej perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang terlibat, bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada penjawat awam yang lain.
Selain itu, penganjuran parti liar turut disertai oleh remaja di bawah umur.
Pada usia semuda itu, mereka sepatutnya berada di rumah dan bukannya terdedah dengan kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Bagi remaja wanita, penglibatan mereka dalam parti liar boleh mengakibatkan berlakunya kejadian rogol dan sesuatu yang tidak diingini.
Sehubungan itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak remaja mereka, berada di rumah selepas pukul 10.00 malam.
Tujuannya adalah untuk menjamin keselamatan anak-anak kita, daripada terjebak ke dalam kancah penyalahgunaan dadah dan aktiviti yang tidak bermoral.
Di samping itu, parti liar kebiasaannya dianjurkan pada malam minggu, semasa cuti perayaan dan cuti umum.
Lokasi penganjurannya pula, kebiasaan di kawasan kediaman mewah, yang disewa dan ditempah secara dalam talian.
Hal ini menyebabkan, kegiatan ini sukar untuk dihidu oleh pihak penguat kuasa.
Sehubungan itu, kerjasama daripada anggota masyarakat amat penting, untuk menyalurkan maklumat dengan melaporkan sebarang penganjuran parti liar kepada pihak berkuasa.
Tindakan ini penting, bagi memastikan kawasan kediaman kita bebas daripada anasir yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan dan kedamaian yang dikecapi selama ini.
Selain kebimbangan marhaen terhadap penganjuran parti liar di kawasan kediaman, terdapat juga segelintir masyarakat kita yang gemar berpesta atas nama ‘private party’ sehingga larut malam.
Majlis sebegini selalunya bermula secara sederhana, namun berubah menjadi acara karaoke dengan bunyi muzik yang kuat seperti di pusat hiburan.
Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah turut mengundang rasa tidak senang dalam kalangan anggota kejiranan.
Selain gangguan bunyi bising, penganjuran ‘private party’ turut menyebabkan halangan lalu lintas di kawasan perumahan, seperti meletak kenderaan di hadapan rumah jiran dengan sesuka hati.
Perbuatan tersebut bukan sahaja menghalang tuan rumah untuk masuk dan keluar dari kawasan kediaman mereka, namun turut menyalahi peraturan undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Peraturan Lalu Lintas 1958.
Justeru, sebelum menganjurkan sebarang aktiviti sosial di kawasan perumahan, berbincanglah terlebih dahulu dengan jiran tetangga.
Di sisi yang lain, penganjur juga perlu mendapatkan permit polis, agar sebarang aktiviti yang dianjurkan tidak menyalahi undang-undang.
Manakala bagi acara yang melibatkan hiburan seperti sesi karaoke, hadkan masanya sehingga pukul 11 malam.
Rumusannya, penganjuran ‘private party’ di kawasan kediaman wajar dipantau dari semasa ke semasa, agar tidak menjadi parti liar yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Komuniti kejiranan, wajar memainkan peranan mereka secara kolektif, bagi memastikan anasir negatif seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, perjudian dan pelacuran tidak berakar umbi dalam persekitaran kediaman kita
• Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak