Pas selar iklan Sugarbook

KUCHING: Pas menyelar tindakan membenarkan aplikasi Sugarbook serta iklan tidak bermoral yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad , mempertikaikan mengapa perkara itu boleh berlaku di Malaysia, yang mempunyai Islam sebagai agama rasmi serta amat bercanggah dengan norma, akhlak dan budaya ketimuran yang diamalkan.

“Ini nyata berbeza dengan tindakan di Singapura dan New Zealand apabila mendepani isu ini.

“Contohnya di Singapura, apabila Sugarbook, penyedia aplikasi Sugar Daddy, memasuki pasaran Singapura pada awal 2018, ia mendapat tentangan hebat pemimpin politik dan pertubuhan wanita Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Ahli Parlimen PAP Marine Parade, Seah Kian Peng, terus menggesa pihak berkuasa Singapura menyemak keabsahan Sugarbook di sisi undang-undang Singapura.

Tambahnya, Ahli Parlimen PAP MacPherson, Tin Pei Ling pula berkata, “kita tidak boleh benarkan pencari untung menggunakan kelemahan belia kita dan mengeksploitasi mereka.”

Jelasnya, Presiden Pertubuhan Majlis Wanita Singapura June Goh juga menyebut betapa aplikasi itu mendedahkan wanita muda kepada eksploitasi, stigma, penganiayaan dan kerosakan psikologi.

Ujarnya, Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Singapura Desmond Lee pula menyebut, aplikasi itu menggalakkan wanita muda merendahkan maruah mereka dan mendedahkan mereka kepada eksploitasi dan penganiayaan.

Begitu juga apabila Sugarbook menyatakan hasrat mahu memasuki pasaran New Zealand pada awal 2019, ia mendapat tentangan hebat masyarakat New Zealand.

“Namun lain yang berlaku di Malaysia yang kita cintai ini,” tegasnya. Sugarbook ialah syarikat yang bertapak di Malaysia dan diasaskan oleh rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar aplikasi ini.

“Tetapi apabila isu ini heboh, tidak seorang pun pemimpin kerajaan dan pertubuhan wanita yang bersuara ke atasnya,” katanya.

“Adakah rakyat Malaysia masih menaruh ‘harapan’ kepada PH untuk terus menjaga bangsa dan generasi kita akan datang?” soal beliau.

Suara Sarawak