PAS: Tidak perlu sidang khas Parlimen

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian tidak perlu diadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi mempersoalkan keraguan sokongan majoriti ahli parlimen terhadap pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengambil kira pandangan ahli-ahli parlimen dan jumlah parti politik yang menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri.

“Cukup dengan kenyataan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, menggunakan kuasa yang ada mengikut perlembagaan dalam demokrasi… biasalah ada yang tidak puas hati, tak dapat sokongan seratus peratus, yang penting ialah pandangan yang dilihat baginda merupakan pandangan yang terbanyak, terbaik untuk negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa parti itu di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan serta ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mengenai perbincangan keanggotaan dan pembahagian wakil rakyat dalam Kabinet baharu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata perkara itu belum dibincangkan dan ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata hasil mesyuarat khas parti itu hari ini merumuskan aspek memulihkan ekonomi, merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; menjadi antara fokus utama parti itu dalam kerajaan Persekutuan yang baharu.

Selain itu, beliau berkata PAS berharap kerajaan baharu dapat berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.– BERNAMA

Suara Sarawak