KUCHING: Tidak tahu-menahu mengenai masalah hutang anak, sepasang suami isteri warga emas kini terpaksa menanggung ketakutan selepas rumah mereka menjadi sasaran gangguan dipercayai berkaitan tuntutan hutang.
Kejadian berlaku pada pagi Khamis lalu apabila mercun dilemparkan ke arah rumah berkenaan, dipercayai bertujuan menakutkan penghuni dan menuntut bayaran hutang daripada anak mereka.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata rumah berkenaan didaftarkan atas nama bapa kepada individu terbabit, manakala pasangan itu mendakwa tidak mengetahui anak mereka mempunyai masalah hutang dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
“Anak pasangan berkenaan sebelum ini pernah tinggal di rumah tersebut, namun tidak lagi menetap di situ selepas dipercayai berdepan masalah hutang.
“Ini adalah masalah anak mereka. Jika mahu mendapatkan bayaran hutang, cari anak tersebut dan jangan mengganggu ibu bapanya atau merosakkan rumah milik mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP, hari ini.
Beliau berkata, pasangan terbabit bukan peminjam atau penjamin bagi hutang berkenaan, justeru tidak sepatutnya dijadikan sasaran atau diganggu.
Menurutnya, kejadian itu turut memberi kesan kepada jiran apabila panel kaca di bahagian anjung rumah bersebelahan dilaporkan pecah akibat kejadian berkenaan.
Katanya, keadaan itu amat membimbangkan kerana perbuatan melemparkan mercun berpotensi menyebabkan kebakaran, terutama sekiranya dilakukan pada waktu malam atau mercun terkena bahan mudah terbakar.
“Bayangkan sekiranya mercun dilemparkan pada tengah malam dan menyebabkan kebakaran. Bukan sahaja penghuni rumah berdepan bahaya, malah jiran berhampiran juga boleh terjejas,” katanya.
Susulan kejadian itu, Milton berkata, bapa kepada individu terbabit telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Beliau berkata, pihak yang ingin mendapatkan semula hutang sepatutnya menggunakan saluran undang-undang, termasuk mendapatkan khidmat peguam dan memfailkan tuntutan di mahkamah.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen kerana kesannya boleh berpanjangan dan akhirnya turut membebankan ahli keluarga.
“Jangan gunakan kaedah ugutan, membakar, melemparkan mercun atau merosakkan harta benda. Perbuatan seperti ini menyalahi undang-undang,” katanya.



