KUCHING: Peminat barangan berjenama terpakai di kawasan Kuching dapat berkunjung ke Pasar Barangan Terpakai yang akan diadakan di Mahkamah Lama mulai 9 Februari depan.
Aktiviti perniagaan yang bermula pada jam 11 pagi hingga 6 petang itu bertujuan untuk merangsang pasaran barangan terpakai dan meningkatkan amalan berjimat dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebanyak 15 peniaga akan terlibat menjalankan perniagaan di situ termasuk menjual pakaian, kasut, beg dan sebagainya.
Vendor dari Waste Less Kuching akan hadir untuk menjual produk mereka dan akan mengagihkan sepuluh peratus keuntungan yang diperoleh kepada mangsa banjir di Jakarta.
Selain itu, pameran berkaitan impak fesyen berasaskan alam sekitar juga akan diadakan untuk menangani krisis iklim yang didorong oleh industri fesyen. Industri fesyen merupakan salah satu punca berlakunya pencemaran dan menjejaskan alam sekitar.
Melalui pameran itu, masyarakat akan sedar tentang bahan yang digunakan terutamanya melibatkan alam sekitar. Dengan itu, pengguna akan dapat melatih diri dalam berbelanja dan mengurangkan pembelian pakaian yang banyak.
Hal ini kerana ia dapat menggalakkan penjimatan dalam kalangan pembeli, justeru meningkatkan penjualan barangan tempatan.
Dapatkan maklumat lanjut melalui laman Instagram @ kuchingprelovedmarket dan @ wastelesskch atau menghubungi Pengasas Waste Less Kuching Hani Luffi di talian 013-8115921 atau e-mel ke wastelesskch@gmail.com