Pasar malam lonjak ekonomi Tanjung Manis

SARIKEI: Tanjung Manis kini mempunyai pasar malam sekali gus mencipta sejarah bagi kawasan yang sebelum ini terkenal dengan industri perkayuan dan perkapalan.

Kewujudan pasar malam itu adalah hasil inisiatif Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Tanjung Manis dan mendapat sokongan padu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Langkah proaktif itu bukan sahaja menambah seri Tanjung Manis tetapi juga menjadikannya sebagai salah satu lagi tarikan pengunjung ke kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Ibnee Ekni berkata, pasar yang terletak di kawasan tempat letak kereta belakang Family Supermarket itu mempunyai sebanyak 33 gerai jualan dan dibuka kepada orang ramai bermula jam 2.00 petang hingga 10 malam, setiap hari.

Menurutnya, usaha mewujudkan pasar malam itu bertujuan memastikan peniaga kecil di daerah berkenaan mempunyai platform untuk menjana pendapatan tambahan.

“Selain dibuka setiap hari, kita juga menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung dengan cabutan tiket bertuah pada Ahad,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, PBB Ranting Tanjung Manis terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan peniaga kecil daerah ini mendapat peluang untuk meraih pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi.

“Salah satu pendekatan kami ialah dengan mewujudkan pasar malam.

Ini juga bermatlamat melonjak potensi ekonomi Tanjung Manis.

Kita bersyukur dengan sambutan positif pada hari pertama pembukaannya semalam dan berharap keadaan itu berterusan,” katanya.

Ibnee memberitahu, penjaja gerai di pasar itu menjual pelbagai jenis produk termasuk makanan dan minuman, pakaian, kuih-muih, kosmestik dan lain-lain lagi.

Apa yang menarik katanya, sebahagian produk yang dijual di pasar itu dihasilkan sendiri oleh peniaga mengikut kreativiti masing-masing.

“Sehubungan itu, saya optimis lebih banyak produk akan ditawarkan di pasar malam ini pada masa akan datang supaya terus menjadi tarikan utama.

“Sehubungan itu, saya menggesa penduduk di sekitar daerah ini supaya tidak melepaskan peluang berkunjung ke sini.

“Saya mewakili seluruh peniaga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu Adun 41 Kuala Rajang sehingga impian kami mewujudkan pasar ini menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Len Talif sempat meninjau keadaan pasar tersebut selepas menyempurnakan majlis perasmiannya semalam.